Malaysia Dateline

Kes rogol termasuk ‘orang agama’ di Kelantan naik 46 peratus

Kelantan merekodkan peningkatan kes jenayah rogol sehingga 46 peratus sepanjang tahun 2020 termasuk turut membabitkan pasangan kekasih bawah umur.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, rekod jenayah rogol tahun lalu mencatatkan 108 kes iaitu meningkat sebanyak 34 kes daripada jumlah 74 kes pada tahun 2019.

Beliau berkata, antara mereka yang terlibat juga dikesan dari golongan yang mempunyai pendidikan agama yang tinggi.

“Keadaan itu amat membimbangkan kerana membabitkan pasangan kekasih bawah umur, malahan terdapat juga kes melibatkan ahli keluarga sendiri yang melakukan perbuatan itu secara diam-diam.

“Tidak terkecuali golongan yang mempunyai pendidikan agama tinggi, namun turut melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya semalam dipetik Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati remaja yang terlibat dengan jenayah itu bukan dari kalangan yang mengalami desakan hidup.

Sebaliknya, jelas beliau, kebanyakan mereka menjalani hidup bersama ahli keluarga secara sederhana.

“Rekod yang ada bagi kes yang dilaporkan kepada polis dan juga yang tidak membuat laporan atas alasan malu dan sebagainya.

“Itu tidak boleh dan kesedaran perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat bagi mengelak berlaku kejadian rogol terhadap kanak-kanak yang masih bawah umur,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, statistik jenayah indeks bagi Kelantan sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lalu direkodkan sebanyak 2,534 berbanding tahun sebelumnya 3,546 kes.