Malaysia Dateline

Kes Sajat: Kenapa kes murtad menonjol ketika kerajaan Melayu Islam memerintah

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali menyatakan kesedihannya apabila Sajat atau nama penuhnya Nur Sajat Kamaruzzaman membuat sumpah keluar dari agama Islam.

“Kita semua tahu kesan dunia dan akhirat yang menimpa kepada seorang Muslim yang murtad meski sebesar mana pun dosa yang dilakukannya,” Ujar Zamir dalam satu kenyataannya hari ini, lapor Terengganu Fokus, sebuah laman web yang berpangkalan di Terengganu.

Zamir mempersoalkan mengapa kes murtad semakin menonjol ketika negara di bawah pemerintahan kerajaan Melayu Islam (Perikatan Nasional).

“Ini amat menjengkelkan,” tegasnya.

“Aspek yang terlihat sebenarnya ialah kehilangan hikmah. Ketika ada lompang dalam perundangan yang belum ditampal dengan baik.

“Dalam pada itu, kita kehilangan hikmah dalam cara menyadurkan tindakan dan pola berfikir beragama. Sedangkan Islam adalah agama yang damai dan menyelamat,” ujar Zamir yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional.

Menurut beliau, ketika pemimpin AMANAH berada dalam kerajaan, mereka membawa agenda dan pendekatan Rahmatan Lil Alamin. Rahmat kepada sekian alam rentas ciptaan.

“Kita cuba sedayanya memartabatkan Islam dengan cara murni, tidak ekstrim, mudah mendekati dan didekati, tetapi malangnya dicerca bagai ombak tsunami yang merosakkan,” katanya.

Zamir turut menyingkap kembali ketika era pemerintahan PH yang membawa gagasan Rahmatan lil alamin di mana pada ketika itu ramai mencerca gagasan itu dengan menggelarkan sebagai Rahmatan lil kafirin.

“Dahulu apabila kita mendekati kumpulan ini dengan cara dialog, menyantuni dan program dakwah yang teliti berhemah, cara ini anda perhuduhkan dengan tohmahan mesra LGBT.

“Anda besar-besarkan isu gender tandas, anda mengamuk dalam khutbah-khutbah Jumaat dan anda perlekeh agenda Rahmah ini di merata ceramah.

“Jadi sekarang, apa yang kita boleh banggakan?” tanya tokoh petani negeri Terengganu itu yang banyak membatu petani bertani secara moden.