Kes saman fitnah Guan Eng terhadap Utusan Malaysia selesai

Kes saman fitnah Guan Eng terhadap Utusan Malaysia selesai

Kes saman fitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap Utusan Malaysia (M) Bhd hari ini selesai selepas Pengarang Rencana dan Analisis syarikat akhbar itu Zulkifli Jalil memohon maaf kepadanya berhubung penerbitan satu artikel pada tahun 2015.

Zulkifli dalam penyataan maafnya berkata beliau juga berasa kesal terhadap penerbitan artikel itu dan menarik balik artikel bertajuk ‘Pengundi Atas Pagar Jadi Penentu’ yang diterbitkan akhbar itu pada 10 April 2015.

“Utusan Malaysia secara tulus ikhlas memohon maaf kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Lim Guan Eng atas kesilapan tersebut yang tidak disengajakan itu atas apa jua kesusahan dan pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Lim Guan Eng ekoran daripada penerbitan artikel berkenaan.

“Utusan Malaysia juga berakujanji untuk tidak menerbitkan atau menyebabkan penerbitan perkataan-perkataan atau perkara serupa yang dinyatakan di dalam artikel tersebut,” katanya lapor Bernama hari ini.

Beliau membacakan penyataan maaf itu di dalam mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosilah Yop yang turut dihadiri peguamnya Datuk M Reza Hassan dan Lim bersama peguamnya Datuk N. Mureli.

Lim kemudiannya menerima penyataan maaf itu dan peguamnya Mureli memohon mahkamah menetapkan perintah kos dan ganti rugi terhadap anak guamnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Oktober untuk penyerahan hujahan bertulis mengenai kos dan ganti rugi itu serta 23 Oktober ini bagi menentukan jumlah kos dan ganti rugi yang perlu dibayar kepada plaintif.

Selepas selesai prosiding, Lim yang juga Menteri Kewangan ketika ditemui media berkata hari ini sepatutnya untuk perbicaraan kes itu, bagaimanapun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu.

Katanya beliau berasa gembira kerana dapat membersihkan namanya daripada fitnah jahat dan penipuan oleh syarikat akhbar berkenaan yang mendakwa beliau campur tangan dalam tanah wakaf di Pulau Pinang ketika memegang jawatan sebagai ketua menteri.

“Tentu ini adalah usaha untuk memainkan sentimen bahaya untuk menyemarakkan sentimen kebencian terhadap saya sebagai seorang bukan Islam dengan memainkan sentimen bahawa saya campur tangan dalam hal ehwal agama Islam sedangkan saya tidak pernah berbuat demikian.

“Ini adalah satu kenyataan palsu yang diusahakan oleh pihak Utusan Malaysia dan sekarang dibuktikan mahkamah adalah palsu,” katanya.

Lim berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sama sekiranya ada pihak yang masih memainkan sentimen perkauman dan ekstremisme terhadapanya.

Lim memfailkan saman itu pada 10 September 2015 terhadap Utusan Malaysia sebagai defendan pertama dan Zulkifli sebagai defendan kedua, mendakwa defendan telah menerbitkan satu artikel bertajuk ‘Pengundi Atas Pagar Jadi Penentu’, pada 10 April 2015.

Dalam kenyataan tuntutannya, Lim mendakwa artikel berkenaan mengandungi kenyataan fitnah, palsu dan berniat jahat terhadapnya kerana mendakwa plaintif campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang berhubung isu tanah wakaf.

COMMENTS

Wordpress (0)