Kes saman fitnah Teresa Kok terhadap Azwanddin selesai secara baik

Kes saman fitnah Teresa Kok terhadap Azwanddin selesai secara baik

Kes saman fitnah difailkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim terhadap Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Saman itu adalah berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan menteri berkenaan dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Peguam S.N.Nair yang mewakili Kok berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik di luar mahkamah selepas defendan (Azwanddin) bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga surat khabar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily.

“Jumlah wang bagi penyelesaian kes berkenaan tidak dapat didedahkan kepada pihak media,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail yang kemudiannya merekodkan penyelesaian kes itu dengan dihadiri peguam Sarah Abishegam.

Nair berkata defendan juga perlu menarik balik ucapan yang telah diterbitkan semula olehnya di media sosial.

Kok, yang juga Ahli Parlimen Seputeh dan Azwanddin turut hadir pada prosiding kes itu yang ditetapkan untuk perbicaraan hari ini. Namun, Kok dilihat meninggalkan mahkamah sebelum kes itu selesai. Sementara itu, Kok dalam kenyataan kepada media berkata, beliau amat gembira kerana Azwanddin telah memohon maaf secara terbuka dan akan melakukan penarikan balik sepenuhnya atas semua kenyataan dipersoalkan yang dilakukannya terhadap Kok secara salah yang mengaitkannya dengan One City Development Sdn Bhd, yang melibatkan insiden di kuil Seafield pada November tahun lepas.

“Saya sentiasa dari awal lagi dengan sekeras-kerasnya menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan One City dan kekal begitu. Meskipun Azwanddin masih menghubungkan saya dengannya dan saya tiada pilihan tetapi menyaman beliau bagi membersihkan nama saya dan mendapatkan keadilan,” katanya.

Kok selaku plaintif memfailkan saman itu pada 8 Jan lepas dengan menamakan Azwanddin atas kapasiti peribadinya sebagai defendan pertama dan selaku presiden JMM sebagai defendan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, Kok mendakwa Azwanddin sebagai presiden JMM telah menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan-perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu perhimpunan yang diadakan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Dis tahun lepas.

Dakwanya, ucapan itu dalam pengertian biasa dan pengertian semula jadi bermaksud antara lain bahawa beliau bersifat rasis, telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai menteri dan bertindak secara tidak adil serta tidak jujur, tidak beretika dan tidak berprinsip sebagai seorang menteri.

Menteri itu mendakwa bahawa ucapan itu diterbitkan dengan tujuan menghasut orang awam dan memburuk-burukkan plaintif dan disampaikan secara tidak bertanggungjawab kepada orang ramai dan secara khusus dibuat bagi mendapat sensasi murahan untuk mencetuskan kekacauan dan kemungkinan membawa bahaya secara fizikal dan kemudaratan lain kepada plaintif.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta injunksi untuk menghalang defendan sama ada melalui ejen dan/atau mana-mana orang lain daripada terus menuturkan, menulis atau menerbitkan ucapan yang sama dan kos.- BERNAMA