Kes ‘sedekah’ di Marang: Sumber SPRM dedah cukup bukti untuk dakwa

Oleh SHAFIQAH MUKHSIN

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan mempunyai bukti kukuh terhadap seorang ahli Pas yang menyerahkan wang tunai kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum lalu.

Kejadian yang dikatakan berlaku di Marang timbul selepas tular satu video ahli Pas tersebut menyerahkan wang selepas mengangkat sumpah untuk mengundi parti terbabit.

Menurut media tempatan, sumber yang rapat dengan kes itu menyatakan penyiasat telah menemu bual saksi kejadian dan mencadangkan tuduhan rasuah kepada pendakwa raya tidak lama lagi.

Seorang pegawai kanan SPRM dimaklumkan sedang menyiapkan satu bahagian terakhir sebelum melengkapkan siasatan.

“SPRM perlu mendapatkan dokumen pendaftaran pemilih daripada SPR, yang perlu kita mohon melalui mahkamah.

“Apabila kita mendapat dokumen dan merekodkan beberapa lagi kenyataan, maka kertas siasatan akan dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan mereka.

“SPRM akan mencadangkan kepada AGC untuk mengenakan tuduhan rasuah terhadap individu yang memberikan wang tunai itu (kepada pengundi),” kata sumber berkenaan.

Sumber tersebut bagaimanapun enggan namanya disiarkan selepas bersetuju untuk bercakap dengan MK.

Menurut sumber MK, penyiasat telah menyoal beberapa saksi, termasuk kira-kira 90 pengundi yang didakwa telah menerima bayaran daripada PAS untuk mengundi calon parti tersebut.

Daripada siasatan SPRM, pegawai penyiasat dikatakan menemui unsur rasuah yang jelas dalam kejadian itu.

Baca juga: Mahiaddin didakwa lagi, kali ini kes pengubahan wang haram pula