Malaysia Dateline

Kes seleweng Najib: Peguam Pejuang gesa hormati keputusan mahkamah

Peguam Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) memperingatkan semua pihak untuk menghormati keputusan Mahkamah Rayuan terhadap rayuan kes Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ketuanya, Mior Nor Haidir berkata, prosiding mahkamah semalam itu dibarisi empat hakim yang berkaliber serta berkelayakan dengan pertimbangan penuh dan sewajarnya.

Tegasnya, keputusan panel hakim terbabit tanda bahawa sistem kehakiman dan perundangan negara masih teguh berdiri.

“Berhenti mempertikai atau menyemai budaya menghina kredibiliti mahkamah yang hanya bertujuan untuk mengelirukan pandangan dan fahaman rakyat terhadap undang-undang.

“Najib Razak adalah seorang yang telah didapati bersalah dan akan kekal bersalah sehingga diputuskan sebaliknya (only an acquittal can wash away a conviction),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mior berkata, kedudukan dan status seseorang tidak mewajarkan layanan yang berbeza harus diberikan.

Menurutnya, kes dihadapi bekas Perdana Menteri itu bersifat jenayah terhadap orang awam dan boleh ditakrifkan sebagai pengkhianatan terhadap pengurusan negara.

“Peguam Pejuang menghormati penuh keputusan Mahkamah Rayuan yang antara lainnya menekankan (…the law is no respecter of persons…).

“Bagi tujuan pembuktian dan cabaran terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, pihak pembelaan perlu berani sedaya upaya mempercepatkan pelupusan rayuan penuh di Mahkamah Persekutuan tanpa sebarang usaha untuk melengah-lengahkan lagi,” tambah Mior lagi.