Malaysia Dateline

Kes sembuh atasi kes baharu Covid-19

Pesakit sembuh Covid-19 hari ini mencecah 996 kes mengatasi 919 kes baharu positif dengan jumlah kes sembuh sebanyak 32,069 kes.

Jumlah kumulatif kes pulih dan discaj itu 73.2 peratus daripada keseluruhan kes.

Bagi kes positif yang dikesan hari ini, 916 merupakan kes tempatan manakala tiga lagi kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut memberitahu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah sebanyak 11,419.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 92 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat jam 12 tengah hari ini termasuk 35 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam masa sama, beliau menyatakan sebanyak 240 kes dilaporkan di Negeri Sembilan dengan 239 kes daripada kluster jangkitan termasuk Kluster Cergas yang membabitkan sebuah kilang di Seremban dan berdekatan dengan kluster Sofi iaitu maahad tahfiz.

Secara keseluruhan, katanya, sebanyak 453 kes positif dikesan di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sekali gus menyaksikan angka lebih tinggi berbanding dengan kes yang dicatatkan di Sabah hari ini.