Malaysia Dateline

Kes sembuh COVID-19 mengatasi kes baharu

Bilangan kes sembuh COVID-19 pada hari ini mengatasi bilangan kes baharu iaitu sebanyak 1,405 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 40,493 kes (75.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu pada hari ini dilaporkan sebanyak 1,041 kes menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 53,679 kes.

Manakala, katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,854 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, tambahnya, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,039 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Namun katanya, tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu sebanyak 402 kes (38.6 peratus), diikuti Sabah 346 kes (33.2 peratus) dan Negeri Sembilan 121 kes (11.6 peratus).

“Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Teratai iaitu sebanyak 298 kes (74.1 peratus).

“Negeri Sabah pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pelbagai saringan COVID-19 yang giat dijalankan di sana manakala Negeri Sembilan disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sebanyak 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 332 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.