Malaysia Dateline

Kes sembuh harian terus atasi kes baharu Covid-19

Seramai 900 orang sembuh daripada Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pulih sebanyak 23,120 orang iaitu 69.3 peratus.

Sementara itu, terdapat 834 kes baharu positif Covid-19 dengan 831 kes melibatkan penularan tempatan manakala bakinya kes import.

Sabah terus mencatatkan kes baharu Covid-19 tertinggi sebanyak 503 kes diikuti Selangor (129), Labuan (105), Kuala Lumpur (22) dan Pulau Pinang 21 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes harian itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 33,339 kes.

“Sabah mencatatkan 503 kes atau 60.3 peratus, manakala negeri di Lembah Klang merekodkan 157 kes bersamaan 18.8 peratus daripada keseluruhan kes.

“Secara keseluruhannya, Sabah, negeri di Lembah Klang dan Labuan mencatatkan 765 kes (91.7 peratus).

“Semua negeri ini masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini turut memaklumkan terdapat 9,968 kes aktif dengan 91 pesakit sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 32 orang daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, dua lagi kematian direkodkan sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 251 kematian dengan kadar 0.8 peratus.