Malaysia Dateline

Kes siasatan kematian Muhammad Adib akan didedahkan di mahkamah, kata Muhyiddin

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memaklumkan pihak polis sehingga kini melalui rakaman percakapan saksi-saksi, lakonan semula (re-enactment) dan juga hasil bedah siasat yang telah dilakukan oleh pihak forensik patalogi telah menemukan dapatan tertentu mengenai sebab kematian Allahyarham yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pihak polis dan telah berbincang dengan Peguam Negara mengenai perkembangan kes tersebut.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia mengenai perkembangan siasatan kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib bin Kassim yang kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saya telah berbincang dengan Peguam Negara mengenai perkembangan kes ini. Peguam Negara telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau selaku Pendakwa Raya, dalam menjalankan kuasanya di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan Majistret untuk membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham.

“Pihak Pendakwa Raya akan memohon kepada Mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu Majistret berkenaan dalam menjalankan inkues tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya di dalam prosiding inkues ini, Majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian termasuk mempertimbangkan bagaimana Allahyarham menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh orang lain.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.