Alhamdulillah, saya berpeluang membaca ringkasan penghakiman atau keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.
Ramai juga yang meminta saya mengulasnya bagi membolehkan mereka memahami isu ini dengan lebih baik. InshaAllah saya cuba.
Sebagai mantan peguam yang agak lazim mengendalikan kes-kes yang melibatkan isu-isu ‘public law’ (undang-undang awam) seperti isu semakan kehakiman dan isu-isu perlembagaan, secara lumrah, kes-kes seperti ini memang seringkali menarik minat saya.

Justeru itu, saya akan cuba mengulas isu ini tanpa dipengaruhi oleh sentimen dan emosi yang tidak wajar. Secara kronologi, kes ini bolehlah diringkaskan seperti di bawah ini :
Ada sebuah fatwa yang diwartakan di negeri Selangor pada sekitar tahun 2014, yang antara lain menyatakan bahawa Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) menganut fahaman liberal, sesat dan menyeleweng.
SIS sebagai pihak yang terkesan dengan fatwa tersebut telah bertindak mencabar hal tersebut di Mahkamah Tinggi tetapi permohonan mereka ditolak.
Mereka kalah kerana mahkamah putuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan mereka kerana di bawah seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, bidang kuasa itu diberikan kepada Mahkamah Syariah.
Pihak SIS tidak berpuas hati. Mereka telah bawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan (the validity) seksyen 66A enakmen tersebut, atas alasan DUN Selangor tidak ada kuasa untuk menggubal seksyen itu.
Cabaran itu dibuat di bawah Artikel 4 (3) dan 4 (4) Perlembagaan Persekutuan (PP) dan juga Artikel 128 (1) PP.
Bagi mencabar hal itu, SIS perlu mendapatkan kebenaran (leave) dari Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu. Mahkamah telah memberikan kebenaran. Itu peringkat pertama.
Selepas mereka berjaya mendapatkan kebenaran, barulah mereka bergerak ke peringkat kedua di mana mahkamah akan mendengar isu substantif kes itu iaitu adakah DUN Selangor mempunyai kuasa untuk menggubal seksyen 66A enakmen tersebut?
Secara mudahnya, intipati keputusan Mahkamah Persekutuan adalah seksyen 66A enakmen tersebut yang menyatakan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk dengar kes semakan kehakiman atau judicial review, adalah tidak sah.
Kenapa? Kerana kata mahkamah, kuasa untuk mendengar kes semakan kehakiman adalah terletak di bawah hak dan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Sivil seperti yang ditetapkan oleh PP.
Maka mahkamah putuskan, seksyen 66A enakmen tersebut, jika menggunakan bahasa peguam, adalah ultra vires PP.
Mungkin ada pihak yang biasanya sama ada tidak memahami isu dalam kes ini atau secara sengaja untuk tidak mahu memahaminya atas faktor-faktor tertentu, akan cuba memainkan isu ini dengan secara tidak bertanggungjawab .
Dalam bahasa inggeris, they may intend to blow it out of proportion. Jika mereka lakukan itu, komen saya ‘we can’t help!’ Bagi Parti AMANAH, saya rasa menjadi tanggungjawab sosial kami untuk mendidik rakyat agar dapat memahami isu ini dengan baik
Isu yang mungkin dimainkan adalah kononnya mahkamah sivil turut campur tangan bidang kuasa mahkamah syariah kerana bagi mereka kes ini ada kaitan dengan isu fatwa yang mengatakan bahawa SIS adalah liberal,sesat dan menyeleweng.
Keputusan Mahkamah Persekutuan, hakikatnya, bukan menyentuh berkenaan kesahihan fatwa tersebut sama ada dari sudut substantif atau prosedural.
Sejak dari awal penghakiman itu, mahkamah secara tegas menyatakan hal tersebut: Mahkamah hanya putuskan kesahihan seksyen 66A enakmem tersebut berdasarkan ayat-ayat yang terkandung dalam seksyen tersebut.
Jika kita belajar perundangan Islam, bahasa yang digunakan adalah: نحكم بالظواهر …
“kami menghukum apa yang tersurat”
Kes ini berkaitan isu “adakah DUN mempunyai bidang kuasa untuk menggubal sebuah undang-undang atau enakmen yang ultra vires Perlembagaan Persekutuan? “. Itu sahaja.