Kes Spanco, SPRM dakwa sudah rakam keterangan bekas menteri kewangan

Oleh MAISARAH AISYA

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menyiasat ahli perniagaan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

Malah media turut melaporkan SPRM memanggil lebih 20 individu dan sudah membekukan kira-kira 80 akaun syarikat serta individu yang berkaitan dalam kes itu.

Menurut Harian Metro, SPRM sudah merakam percakapan bekas menteri kewangan yang didakwa terbabit dengan dalam kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes membabitkan Spanco masih dalam siasatan dan akaun terbabit masih dibekukan.

Walaupun sudah memanggil ramai saksi, Azam menegaskan akan terus memanggil siapa sahaja yang mempunyai kuasa meluluskan projek berkenaan.

“Kita sudah merakam keterangan bekas menteri kewangan, namun bekas Perdana Menteri ketika itu belum dipanggil memberi keterangan.

“Kita serah kepada pegawai penyiasat di mana jika ada keperluan akan memanggil bekas Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Pada masa sama, Azam melihat ia adalah tanggungjawabnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk melaksanakan kerjanya berdasarkan undang-undang.

Malah segala aduan dan tohmahan diterima pihaknya akan disiasat.

“Buat masa ini, ia adalah tanggungjawab saya di mana apa saja yang diberi (aduan) kepada kami akan disiasat,” katanya.

Media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan kontrak perolehan Spanco ini hanya merugikan negara.

Syarikat Spanco juga memegang konsesi untuk pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan selama 30 tahun, sejak ia dianugerahkan bermula 1 Januari 1994.

Baca juga: Duduk flat selera ‘teres’, penghuni dikecam ubah suai rumah melampau, siap pasang pagar jeriji