Malaysia Dateline

Kes SRC Najib mula bicara 3 April ini

Perbicaraan kes tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) dihadapi Datuk Seri Najib Razak akan bermula 3 April ini.

Hakim Nazlan Mohd Ghazali Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan itu selepas Mahkamah Persekutuan semalam mengenepikan arahan penangguhan oleh Mahkamah Rayuan minggu lalu.

Bagaimanapun tarikh-tarikh perbicaraan belum ditetapkan dan mahkamah akan memutuskannya selepas mengambil kira perbicaraan kes 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri itu yang juga akan bermula pada bulan sama.

Najib, 66, menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang berhadapan dengan berpuluh-puluh tuduhan berhubung dengan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah dan rasuah.

Ahli Parlimen Pekan itu pertama kali dibawa ke Mahkamah Sesyen pada 4 Julai 2018 untuk menghadapi tiga tuduhan CBT dan satu penyalahgunaan kuasa berhubung dengan dana SRC.

Pada 8 Ogos 2018, Najib didakwa lagi di Mahkamah Sesyen terhadap tiga tuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah dana yang sama.