Malaysia Dateline

Kes tertinggi Covid-19, lagi lapan kematian tutup tirai 2020

Malaysia mencatat angka harian tertinggi dengan 2,525 jangkitan baharu Covid-19, hari ini.

Angka itu sekali gus jumlah harian tertinggi pernah direkodkan di negara ini, memecahkan rekod 2,335 kes pada 26 Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan hari ini menjadikan jumlah kumulatif mencecah 113,010 jangkitan dengan 23,598 kes aktif.

Beliau berkata, Selangor kembali melaporkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,205 jangkitan baharu (47.7 peratus).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 995 kes (82.6 peratus) adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Sabah sebanyak 229 kes (11.8 peratus) dan Melaka yang melaporkan 239 jangkitan (9.5 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, seramai 1,481 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh setakat jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatifnya 88,941 kes (78.7 peratus).

Penutup tahun ini juga menyaksikan sejumlah 471 kes kematian atau 0.42 peratus daripada keseluruhan kes dengan lagi lapan kematian direkodkan hari ini.

Tiga daripada lapan kes kematian itu dilaporkan di Selangor, dua di Johor serta masing-masing satu di Kelantan, Negeri Sembilan dan Kedah dengan kesemuanya mempunyai sejarah penyakit kronik.

“Semua kes kematian hari ini membabitkan warganegara yang mempunyai penyakit kronik dan berusia antara 39 hingga 79 tahun,” kata Dr Noor Hisham lagi.