Malaysia Dateline

Kes terus meningkat, Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April

Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu lagi iaitu sehingga 14 April 2020.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana trend semasa yang menunjukkan kes-kes positif Covid-19 yang baharu masih berlaku.

Malah katanya, trend tersebut dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun.

“Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama.

“Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara-saudari lebih bersedia.

“Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana,” katanya dalam sidang media Perutusan Khas hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan para pelajar yang sepatutnya kembali ke asrama untuk tidak melakukan demikian buat masa ini.

Malah beliau berkata, pejabat-pejabat yang masih ditutup juga masih tidak perlu dibuka lagi.

Beliau menyarankan orang ramai untuk membuat perancangan rapi sekiranya terdapat perkara penting yang perlu diurus dalam tempoh dua tiga minggu akan datang.

Selain itu, katanya, tempoh kuatkuasa perintah ini juga akan dikaji dari semasa ke semasa.

“Saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.

“Saya juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa,” katanya.