Malaysia Dateline

Kes Timbalan Menteri: Kerajaan New Zealand dipersoal media mereka

Susulan isu membabitkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara yang didakwa bercuti ke New Zealand selama 55 hari sejak Disember tahun lalu, kerajaan negara itu dihujani pelbagai soalan dari media mereka.

Di sana, portal berita Stuff melaporkan bahawa kerajaan New Zealand enggan mengulas lebih lanjut tentang keberadaan Ahli Parlimen Segamat itu.

Menurutnya, kerajaan New Zealand juga enggan mengesahkan status imigrasi Santhara dan menjawab persoalan bagaimana wakil rakyat dari Bersatu boleh mendapat tempat dalam sistem pengasingan dan kuarantin (MIQ).

Banyak pertanyaan mengenai perjalanan Santhara yang semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu berkata akan bekerja untuk satu ringgit sahaja yang tidak diketahui.

Agensi kerajaan juga dilapor tidak menjawab sama ada Santhara adalah rakyat New Zealand atau warganegara, dan sudah berapa lama dia menunggu tempat dalam MIQ.

Begitu juga dengan Imigresen New Zealand yang mengatakan: “Imigresen New Zealand tidak boleh memberi sebarang maklumat mengenai individu tersebut tanpa privacy waiver.

Pihak berkuasa juga tidak dapat menjawab pertanyaan Stuff mengenai waktu menunggu untuk posisi diasingkan pada akhir Oktober atau awal November lalu. Jurucakap mengatakan maklumat itu tidak direkodkan.

Lapor media itu lagi, pejabat perdana menteri dan menteri yang bertanggungjawab memberi maklum balas Covid-19, Chris Hipkins juga enggan menjawab soalan.