Malaysia Dateline

Kes Veveonah: Kit Siang mahu Zahidi dihadapkan ke Jawatankuasa Parlimen

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa agar Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM), Datuk Zahidi Zainul Abidin dihadapkan ke Jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen susulan dakwaannya terhadap seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin.

Lim menegaskan, badan Jawatankuasa Parlimen perlu menyiasat sama ada Zahidi bercakap benar berhubung kenyataannya yang mendakwa tersilap kerana menerima maklumat yang salah.

“Sekiranya Zahidi mengatakan yang sebenarnya, maka pegawai yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang tidak tepat harus dikenal pasti dan dihukum dengan sewajarnya.

“Sekiranya tidak, Zahidi yang harus dihukum dua kali kerana dua pembohongannya.

” Malah Perdana Menteri sendiri maklum situasi Veveonah. Bagaimana mungkin seorang Timbalan Menteri KMM sangat tidak tahu mengenai masalah yang sepenuhnya berada di bawah bidangnya?,” soalnya dalam hantaran blog terbaharunya semalam.

Sebelum ini, tular sebuah video Veveonah yang sanggup bermalam di atas pokok kerana mahu mendapatkan capaian internet yang kuat demi menjawab peperiksaan.

Namun, semasa sidang Dewan Negara, Zahidi mendakwa pelajar terbabit menipu dan tidak mengambil peperiksaan sewaktu videonya dirakam.

Malah menurutnya, Veveonah hanyalah sekadar ‘youtubers’ yang mahu menaikkan rating tontonan dan mendapat nama.

Bagaimanapun beliau memohon maaf selepas dihujani kritikan orang ramai termasuk bukti dari rakan-rakan Veveonah yang tampil mempertahankan bahawa sememangnya mereka mengambil peperiksaan waktu itu.

Dilaporkan, video berkenaan dimuatnaik sehari selepas peperiksaan berakhir.