Malaysia Dateline

Kes video seks: Tiada pertuduhan, forensik Amerika gagal cam pelaku

Tiada pertuduhan akan dibuat daripada video seks yang dikaitkan dengan personaliti politik ekoran pengecaman wajah gagal dilakukan, kata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, pakar forensik Amerika Syarikat (AS) “gagal” mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.

“CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walau pun video-video tersebut adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis telah dijalankan.

“Disebabkan oleh dapatan yang tidak konklusif tersebut, PDRM telah menghantar untuk dianalisis secara bebas oleh pakar forensik di AS. PDRM menerima keputusan analisis pada bulan Disember 2019.

“Laporan yang bebas ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, ‘kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas,” katanya.

Kenyataan media tersebut dipercayai merujuk kepada klip video intim mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Sehubungan itu, jelas Tommy, timbalan pendakwa raya telah sebulat suara mengesyorkan kepadanya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak,” katanya merujuk kepada klip video intim yang mula tersebar dalam beberapa kumpulan Whatsapp disertai petugas media pada 11 Jun tahun lalu.

Menurutnya, Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak 13 Jun lalu bekerjasama dengan polis dalam meneliti kertas siasatan berhubung klip video intim yang disiasat di bawah 377B dan 377D Kanun Keseksaan.

Protokol penyiasatan telah diikuti, kata Tommy, dan PDRM menemubual ramai saksi bagi memastikan fakta berhubung video itu selain tangkapan serta reman juga dibuat terhadap beberapa saksi berkaitan sepanjang penyiasatan.

Berhubung kelewatan dalam melengkapkan siasatan kes itu, Tommy memberitahu, hal itu berlaku termasuklah kerana kekangan dan prosedur kerajaan yang perlu dilalui.

Pendakwaraya itu juga merujuk laporan analisis yang dibuat oleh “orang persendirian tanpa diminta” kepada PDRM.

Thomas dipercayai merujuk kepada laporan analisis yang diserahkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam.

Thomas berkata, analisis laporan yang diserahkan Lokman mengesahkan dapatan laporan CyberSecurity dan pakar forensik luar, bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisis pengecaman wajah.

Bagaimanapun, tambahnya, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru berhubung kes itu diperoleh seperti kelazimannya.