Malaysia Dateline

Kes YB Pekan: Apa hakim kata tentang pinjaman dari KWAP

BAHAGIAN III

1. Kumpulan Wang Amanah Pencen ( KWAP ) antara entiti yang juga dibincang oleh hakim dalam keputusannya yang disampaikan secara lisan pada 28/7/2020.

2. Pihak YB Pekan mendakwa pembiayaan melalui KWAP tidak bertentangan dengan rekomendasi dari pihak EPU sendiri. Pihak pembela juga berhujah meskipun adalah benar dalam memorandum yang disediakan oleh KWAP yang hanya bersetuju menyediakan “launching grant” berjumlah RM 20 bilion, namun ia tidak menghadkan SRC untuk mendapatkan pinjaman dari sumber-sumber lain di dalam pasaran.

3. Hakim kata saksi pendakwa iaitu saksi yang ke-28 (PW-28) ketika memberi keterangan, secara jelas menyatakan bahawa EPU boleh dikira cuai jika bersetuju dengan permohonan bagi jumlah wang yang terlalu besar (massive) berjumlah RM 3 bilion bagi disalurkan kepada SRC dalam keadaan syarikat tersebut tidak memiliki rekod pencapaian (track record) dan jumlah yang besar itu tersebut juga hakikatnya membentuk satu jumlah yang begitu signifikan kepada keseluruhan bajet pembangunan negara.

4. Hakim juga berkata meskipun KWAP selaku badan statutori yang dipertanggungjawab bagi mengurus wang pencen yang mana undang-undang membenarkan panel pelaburan memberikan pinjaman namun dalam memorandum EPU, SRC kena mempertimbangkan bagi mendapatkan pinjaman dari bank komersial, usaha-sama persendirian (private joint-venture) atau pengeluaran bon (issuance of bond).

5. Kata hakim adalah jelas KWAP tidak tergolong dalam mana -mana kategori entiti yang dikatakan itu. Hakim juga kata KWAP yang merupakan agensi statutori di bawah Kementerian Kewangan, berada dalam kedudukan yang unik. Ini kerana, kata hakim, pengerusi lembaga, di bawah operasi undang-undang iaitu di bawah seksyen 6 Akta Kumpulan Wang Pencen 2007 (Retirement Fund Act 2007 )- juga, pada masa yang sama, adalah Ketua Setiausaha (Secretary General) Kementerian Kewangan yang di bawah tanggungjawab YB Menteri Kewangan.

6. Hakim juga menyentuh tentang hujah pihak pembela mengenai isu ketiadaan arahan. Sebaliknya, kata pembela hanya sekadar permintaan dan ia mesti ada satu “due process”.

Kata hakim segalanya bermula apabila daripada surat SRC kepada YB Pekan bertarikh 3/6/2011 yang memohon persetujuan SRC bagi mendapatkan pinjaman dari KWAP sebanyak RM 3.9 bilion.

Kata hakim, YB Pekan telah menurunkan minit dalam surat itu yang mana beliau bersetuju dengan permintaan SRC tersebut dan minit tersebut diarahkan/addressed to kepada ceo KWAP.

7. Hakim juga kata YB Pekan berkata bukan menjadi niat YB Pekan untuk arahkan PW38 memberikan pinjaman kepada SRC secara membabi buta. Akan tetapi, hakim kata, YB Pekan bersetuju semasa disoal balas bahawa YB Pekan adalah bos sebenar (the ultimate boss) kepada Ceo tersebut – yang juga adalah ahli ex officio panel pelaburan KWAP.

8. Hakim juga kata adalah tidak dipertikaikan bahawa segala proses KWAP, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kabinet dalam kes ini bukan sahaja disegerakan (berbanding proses yang biasa/lazim) malahan ianya juga dipatuhi.

..insyaAllah bersambung esok..

BAHAGIAN I

BAHAGIAN II


Penulis adalah seorang peguam, Ahli Parlimen Sepang dan mantan Timbalan Menteri (Undang-undang).