Malaysia Dateline

Kesal ‘ditikam’ Umno, Bersatu perkukuh kerjasama dengan Pas

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dengan Pas melalui Perikatan Nasional (PN) berhubung penubuhan kerajaan Perak yang baharu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pendirian tersebut dicapai pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bagi mengekalkan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.

“Dalam mesyuarat itu, MPT sekali lagi menzahirkan rasa kesal terhadap usul keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap Menteri Besar Perak yang diusulkan Umno tetapi tidak disokong oleh Umno dan Pakatan Harapan (PH) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sehubungan itu, jelasnya, semua keputusan yang bakal diambil Bersatu berhubung penubuhan kerajaan negeri Perak yang baharu akan mengambil kira ketetapan bersama rakan-rakan PN terutama Pas yang terlibat secara langsung.

Untuk rekod, Pas juga dalam masa sama rakan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) manakala Bersatu merupakan parti yang muncul daripada ‘tulang rusuk’ Umno yang tegar bermusuh menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurut Hamzah lagi, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut membincangkan hala tuju dan pendirian parti bekas komponen PH tersebut berhubung perkembangan politik semasa.

Umno malam tadi memutuskan untuk mempertahan kerajaan PN di Perak sebelum ini yang diterajui Umno, Pas dan Bersatu.

Sementara Pas menyaksikan kenyataan berbeza antara Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Susulan itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menerusi Buletin Utama TV3 malam tadi berkata akan membincangkan kenyataan bercanggah pemimpinnya.

Tiada parti politik yang mempunyai majoriti mudah iaitu 30 daripada 59 kerusi kerusi di DUN Perak.

Paling banyak kerusi buat masa ini adalah Umno dengan 25 kerusi diikuti DAP (16), Bersatu dan AMANAH masing-masing lima kerusi, Pas (3) manakala masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.