Malaysia Dateline

Kesalahan liwat yang digubal oleh DUN Selangor tidak sah

Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara memutuskan kesalahan liwat yang digubal oleh Dewan Negeri Selangor adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah, kata Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Menurutnya, penghakiman Mahkamah Persekutuan hari ini antara lain memutuskan Dewan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa membuat undang-undang kesalahan jenayah syariah berkaitan dengan liwat.

“Walaupun Perlembagaan menyatakan ‘kesalahan melanggar perintah agama Islam’ adalah bidangkuasa DUN tetapi ia mesti tidak termasuk di dalam senarai Persekutuan yang menyatakan jenayah adalah bidangkuasa Persekutuan.

“Oleh itu, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berpendapat kedudukan undang-undang syariah berkaitan liwat bagi negeri-negeri lain selain Wilayah Persekutuan juga adalah terjejas.

“Hal ini sangatlah mendukacitakan,” tegasnya.

Tambahnya, walaupun mahkamah hanya menyatakan Seksyen 28 tersebut sahaja tidak sah tetapi ia akan membuka ruang pada masa hadapan untuk dicabar peruntukan jenayah syariah yang lain.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini susulan tindakan Iki Putra bin Mubarrak, 35, mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Dia sebelum itu didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra telah mencabar peruntukan seksyen tersebut dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan jenayah liwat.