Malaysia Dateline

Najib Felda

Kesalahan terbesar Najib cuba selamat kawannya dalam isu Felda, kata Kadir Jasin

Susulan dakwaan Amerika Syarikat bahawa FGV Holdings Berhad menggunakan buruh paksa di ladang-ladangnya sehingga menyekat import minyak sawit dari negara ini, Datuk A Kadir Jasin (gambar) menyalahkan Najib Razak di atas apa yang berlaku.

Bekas Penasihat Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, Malaysia tidak mungkin mengamalkan kegiatan buruh paksa seperti yang didakwa oleh kerana kebanyakan buah kelapa sawit yang diprosesFGV di Malaysia dihasilkan oleh peneroka sendiri.

Malah, beliau memuatnaik artikelnya pada 27 Oktober 2019 bertajuk “Najib dan Rogol Beramai-ramai ke atas Felda”, yang menceritakan bagaimana Najib telah memperalatkan Felda dan anak syarikatnya, FGV untuk tujuan politik dan mencari keuntungan mudah jangka pendek sehingga akhirnya membebankan Felda, para peneroka dan pembayar cukai.

Beliau berkata, kesalahan paling besar yang Najib lakukan ke atas Felda adalah apabila bekas Perdana Menteri itu memaksa FGV menyelamatkan sahabatnya, Tan Sri Peter Sondakh, dengan membeli ladang Eagle High milik tauke Cina Indonesia itu dengan harga melebihi harga pasaran.

“Jadi besar kemungkinan dakwaan kerajaan Amerika Syarikat itu berdasarkan operasi FGV di luar Malaysia.

“Mengikut laporan FGV sendiri, ia mempunyai ladang seluas 439,725 hektar di Malaysia dan Indonesia.

“Kesalahan dan kesilapan besar Najib adalah mencampur-adukkan pentadbiran negara dengan kegiatan korporat yang melibatkan harta negara seolah-olah kedua-duanya adalah milik peribadi beliau,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.

Akibatnya kata Kadir, Felda bertukar daripada operasi ekonomi luar bandar yang lestari kepada operasi yang rugi dan terpaksa diselamatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Terdahulu, Kadir yang juga bekas‎ Ketua Pengarang New Straits Times, pernah melaporkan bahawa FGV telah membeli saham syarikat perladangan Indonesia hampir dua kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran

Pada November 2019, Felda membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham Eagle High pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) berbanding harga sebenar AS$114 juta (RM520 juta) di pasaran pada Disember 2016.