Malaysia Dateline

Kesamaan jantina rahsia Norway terus maju

Norway, negara kedua di dunia yang menjuarai dalam aspek kesamaan jantina, selama beberapa dekad telah berjaya membangunkan dasar dan langkah memperkasakan wanita.

Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset berkata memandangkan 50 peratus penduduk dunia terdiri wanita, adalah penting untuk memperkasakan golongan itu dan menggalakkan mereka memainkan peranan dalam membentuk masa depan.

“Kita tidak boleh mencapai pembangunan mampan tanpa penyertaan wanita. Perdana Menteri kami (Norway) (Erna Solberg) dilantik Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai anggota panel untuk mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama.

Ia bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun sebagai mengiktiraf pencapaian dan sumbangan wanita dalam pembangunan sosial serta ekonomi.

Roset berkata Perdana Menteri Norway juga mengetengahkan isu SDG dalam banyak mesyuarat yang dihadirinya.

SDG merujuk kepada 17 matlamat, antara lain mewujudkan bandar raya dan masyarakat yang mampan, pendidikan berkualiti serta kesamaan jantina.

“Jika satu aspek kesamaan jantina tidak dipenuhi maka matlamat khusus mengenainya pastinya tidak dapat dicapai. Kami berusaha berkongsi pengalaman Norway sebagai negara kedua di dunia dalam kedudukan kesamaan jantina,” katanya.

Roset berkata wanita di Norway berperanan penting menentukan kejayaan ekonomi dan di sektor awam, termasuk Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri (Ine Marie Eriksen Søreide), Menteri Kewangan (Siv Jensen), Ketua Hakim Mahkamah Agung (Toril Marie Øie), dan Ketua dan Mejar Jeneral Angkatan Udara Diraja Norway (Tonje Skinnarland).

Antara faktor menyumbang kepada kejayaan Norway ialah penyertaan wanita yang seimbang dalam kerajaan disebabkan mekanisme kuota yang diperkenalkan, ujarnya.

Ia boleh dijadikan contoh oleh Malaysia terutama untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus pembuat dasar negara adalah wanita.

Pada masa ini, terdapat sembilan wakil wanita dalam kabinet Malaysia iaitu lima menteri dan empat timbalan menteri.

Roset berkata memandangkan Malaysia turut menandatangani Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995, sebagai permulaan adalah dengan memastikan suara wanita dan kanak-kanak perempuan terus didengari.

Ia membolehkan golongan muda termasuk wanita membina keyakinan diri dan mengambil bahagian dalam perdebatan awam.

Bagaimanapun, Roset berkata terdapat cabaran yang perlu ditangani di Norway termasuk menggalakkan penyertaan wanita dalam sektor swasta, selain isu seperti keganasan rumah tangga.

“Keganasan rumah tangga masih wujud dan kebanyakan wanita enggan melaporkannya. Inilah yang menjadi kekangan yang perlu kita atasi.

“Di sektor swasta, banyak wanita melaporkan mengenai proses pengambilan pekerja dijalankan secara tidak telus. Itu juga satu cabaran…kerajaan Norway sentiasa galakkan sektor swasta lebih adil dalam perkara itu,” katanya.

Solberg adalah perdana menteri wanita kedua dalam sejarah Norway, yang pertama ialah Gro Harlem Brundtland.

— BERNAMA