Kesan Perundangan Kes Petisyen Pilihan Raya Dun Rantau

Kesan Perundangan Kes Petisyen Pilihan Raya Dun Rantau

Pada 16 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya di Seremban telah membuat keputusan bahawa penjalanan pilihan raya di Dun Rantau pada PRU 14 yang lepas adalah tidak sah dan oleh itu, pemilihan Dato’ Seri Mohamad Hasan (BN) adalah tidak dipilih secara sah dan pemilihan itu terbatal.

Keputusan tersebut adalah satu keputusan Mahkamah yang bersejarah berkaitan pembatalan pilihan raya berikutan ketidakaturan proses penamaan calon. Dalam kes Dun Rantau ini, calon PKR, Dr S. Streram telah tidak dibenarkan masuk untuk menghantar kertas penamaan calon disebabkan ketiadaan tag nama.

Dalam kes seperti ini, petisyen pilihan raya boleh dibuat di bawah S. 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Menurut seksyen tersebut, pemilihan mana-mana calon pilihan raya boleh diisytiharkan batal jika Hakim berpuashati bahawa berlaku ketidakpatuhan mana-mana undang-undang pilihan raya jika ketidakpatuhan itu telah menyentuh keputusan pilihan raya.

Dalam kes Ismail Kamus lwn Pegawai Pengurus Pilihan Raya (Zainal Abidin Azim) & Ors [2005] 2 CLJ 237, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa seseorang pempetisyen hendaklah membuktikan kepada Mahkamah bahawa telah berlaku perlanggaran undang-undang dan perlanggaran undang-undang itu telah menjejaskan keputusan pilihan raya. Dalam kes tersebut, pempetisyen (Ismail Kamus) telah berjaya membuktikan bahawa berlaku perlanggaran undang-undang apabila SPR telah memanjangkan tempoh masa mengundi selama 2 jam secara tidak sah tetapi Mahkamah berpendapat bahawa pempetisyen telah gagal untuk membuktikan bahawa perlanggaran itu telah menjejaskan keputusan pilihan raya yakni, berapakah jumlah yang keluar dalam tempoh masa yang diperpanjangkan itu dan berapakah jumlah undi yang diperolehinya sehingga boleh mengalahkan calon yang menang.

Dalam kes Tan Sri Joseph Kurup lwn Danny Anthony Andipai (Rayuan Sivil No. 01(F)-19-2008), Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu telah membenarkan petisyen pempetisyen (Danny Anthony Andipai) dan membatalkan pemilihan Tan Sri Joseph Kurup sebagai calon yang dipilih dalam Parlimen Pensiangan, Sabah atas alasan Pegawai Pengurus telah silap apabila menolak kertas pencalonan seorang calon PKR dan calon bebas atas alasan ianya dihantar lewat. Dalam kes itu, Joseph Kurup telah menang tanpa bertanding.

Namun, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya itu dengan alasan bahawa Pegawai Pengurus tidak mempunyai kuasa untuk melanjutkan tempoh penerimaan borang pencalonan dan petisyen itu ditolak.

Justeru, apabila Mahkamah memutuskan pemilihan Dato’ Seri Mohamad Hasan adalah tidak sah dan batal maka ianya adalah satu penghakiman yang mengujakan. Ini kerana kuasa SPR dalam menentukan sama ada seorang calon itu layak bertanding di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 adalah sangat arbitrari. Maksudnya Pegawai Pengurus mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak sesuatu pencalonan dan tiada siapa boleh mempertikaikan keputusan itu kerana keputusan itu adalah muktamad melainkan ianya dibatalkan menerusi suatu petisyen pilihan raya.

Dalam alasannya, Mahkamah juga menyatakan bahawa Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR sendiri mengakui bahawa tiada sebarang peraturan yang menghalang seseorang calon yang tidak mempunyai tag nama daripada masuk Bilik Mengundi.

Uniknya, kes petisyen Dun Rantau ini telah menyelesaikan isu bagaimanakah keputusan sesuatu Pengurus Pilihan Raya dalam menerima atau menolak pencalonan itu akan memberikan kesan atau menyentuh keputusan pilihan raya. Ini kerana pilihan raya itu tidak dipertandingkan dan Mahkamah tidak mempunyai kemampuan untuk mengukur tahap sokongan yang akan diperolehi oleh pempetisyen. Ini bermakna, prinsip undang-undang dalam kes Ismail Kamus tidak terpakai dalam kes seperti ini dalam memenuhi kehendak kedua S.32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Ini juga bermakna Mahkamah hanya membuat penilaian sama ada ianya menjejaskan atau tidak keputusan pilihan raya itu hanya berdasarkan andaian bahawa Dr. S. Streram juga mempunyai peluang untuk menang jika pencalonannya diterima. Mahkamah juga tidak memakai standard matematik iaitu perhitungan undi siapa akan menang dan siapa akan kalah berdasarkan jumlah majoriti undi yang diterima.

Justeru, keputusan Mahkamah dalam petisyen Dun Rantau ini memberikan kesan yang besar kepada perlaksanaan undang-undang pilihan raya khasnya berkaitan kuasa Pegawai Pengurus dalam menolak atau menerima sesuatu borang pencalonan.

Dalam hal lain, perbicaraan kes petisyen Pilihan Raya ini mempunyai plot drama yang menarik kerana Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun tersebut yang juga salah seorang responden, Amino Agos Suyub telah disabitkan oleh Mahkamah atas kesalahan menghina Mahkamah dan dikenakan hukuman penjara 3 bulan kerana beliau telah mengganggu saksi sekaligus menjejaskan proses keadilan.