Kesatuan Eropah: Campurtangan asing atau takut penipuan BN terdedah,soal Mahfuz

Pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dengan 16 duta Negara-Negara Kesatuan Eropah (EU) menyebabkan pemimpin Umno-BN tidak menyenanginya, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Ini susulan  Duta EU di Malaysia mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak melaksanakan pilihan raya umum ke 14 dengan adil dan saksama.

“Seperti biasa, akan ada hulubalang macai Umno yang melompat ke tengah gelanggang membela ketua mereka.

“Begitu cepat mereka mereka memberi respon terhadap pertemuan itu yang seolah-olah pertemuan itu amat merbahaya kepada keselamatan negara.

“Saya berpendapat, apabila pemimpin Umno-BN cepat bertindak balas terhadap sesuatu isu, yang melibatkan antarabangsa, bererti sememangnya mereka dalam masalah.

“Mereka kelihatan gabra dan resah seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu lantas terus berpencak menyalahkan pihak PH mengadakan pertemuan tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz merujuk kepada kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan pertemuan PH dengan duta besar EU sebagai politik terdesak yang mengundang campur tangan dan tekanan kuasa asing terhadap prinsip demokrasi negara.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula membidas Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyifatkan beliau sebagai pemimpin tidak berpegang pada prinsipnya dan ia membuktikan pemimpin berkenaan hanya memperjuang agenda peribadi.

Demikian juga dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahadzir Khalid menjelaskan standard *sistem PRU di Malaysia yang sekian lama diguna pakai adalah hampir sama seperti di negara lain malah turut mempunyai tatacara operasi standard (SOP) yang ketat, tiada keperluan untuk pemantau pilihanraya umum (PRU) antarabangsa dihantar ke negara ini.

Menurut Mahfuz lagi ketika Pakatan Harapan bertemu Duta EU bagi mengharapkan agar dunia memberi perhatian, memantau perjalanan pilihan raya di Malaysia, ujarnya lagi, sepatutnya kerajaan Malaysia berterima kasih atas keprihatinan pihak antarabangsa terhadap demokrasi di Malaysia.

“Jika benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengikut tatacara operasi standard (SOP) yang ketat dan standard antarabangsa, maka kerajaan tidak perlu gusar dengan pemantauan negara luar.

“Ia akan menguatkan lagi hujah bahawa kerajaan benar-benar telus dan adil dalam soal perjalanan pilihanraya,apatah lagi, SPR sendiri pernah diundang menjadi pemantau pilihan raya antarabangsa ketika negara-negara lain mengadakan pilihan raya di negara masing-masing.

“Pada PRU13 SPR pernah menjemput lima negara Asean menjadi pemantau PRU13 di Malaysia.

“Apa masalahnya jika PRU14 wakil dari negara Kesatuan Eropah (EU) juga dijemput bersama wakil Seketeriat Negara-negara Asean untuk memantau dan memerhati perjalanan PRU negara ini?,” soalnya.

6.3
OVERALL SCORE
2 user votes x 9.5