Malaysia Dateline

Kesatuan Guru Sarawak gesa pertimbangkan prasekolah dibuka

Kesatuan Guru Sarawak (STU) menggesa agar kerajaan mempertimbangkan keputusan bagi menangguhkan pembukaan semua prasekolah di seluruh negeri ini yang akan bermula pada 1 Julai depan.

Menurut presidennya, Macky Joseph, langkah penangguhan itu adalah untuk memastikan kanak-kanak prasekolah dan warga pendidik selamat serta proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan tanpa rasa was-was.

Justeru, katanya STU berharap pengumuman pembukaan prasekolah harus ditangguh sehingga keadaan dijamin selamat sepenuhnya.

“STU berpendapat bahawa kanak-kanak adalah sukar untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pada sepanjang masa.

“Walaupun tiada kerja dalam berkumpulan yang membenarkan kanak-kanak ini untuk bersendirian tetapi menjadi sifat semula jadi kanak-kanak mahu mengetahui banyak perkara dan banyak bertanya.

“Maka, STU amat mengetahui kelakuan sosial kanak-kanak pra sekolah apabila sampai ke sekolah, mereka akan mencari kawan-kawan terlebih dahulu dan sangat rapat antara satu sama lain dan sangat aktif,” ujar beliau menerusi kenyataannya.

Macky menegaskan, banyak tanggungjawab untuk memastikan kanak-kanak tidak membawa jangkitan ke sekolah selain turut membebankan warga pendidik untuk membimbing mereka mematuhi SOP daripada pihak Kementerian dan sekolah pada masa yang sama.

“Jelas, ia juga akan mengurangkan masa sesi pengajaran berlaku di dalam kelas selain para guru seolah-olah sebagai seorang penjaga kepada kanak-kanak ini dan bukan menjalankan tugas sebagai seorang guru.

“Dengan ini, STU menggesa agar pihak kementerian mengkaji semula perlaksanaan SOP dan mencari alternatif supaya warga pendidik boleh mematuhinya dan pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai seorang pendidik anak bangsa,” tambah beliau.