Kesatuan Ulamak Sedunia sokong usaha ‘Food Flotilla For Myanmar’

Kesatuan Ulamak Sedunia sokong usaha ‘Food Flotilla For Myanmar’

Kesatuan Ulamak Sedunia yang diketuai Dr Syeikh Yusof Qardawi menyatakan sokongan terhadap usaha yang dilakukan pelbagai pihak termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu serta memperjuangkan nasib umat Islam di Rohingya yang sedang dizalimi.

Dalam pertemuan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) dengan Kesatuan Ulamak Sedunia di Doha Qatar 17 Januari lalu, Setiausaha Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor telah memaklumkan program-program yang telah dan sedang dilakukan oleh NGO-NGO khususnya di Malaysia.

Ini termasuklah Misi Kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar hujung bulan ini yang akan menghantar bantuan-bantuan yang dikumpulkan menggunakan kapal ke kawasan bergolak di Arakan.

Mohd Hakim berkata, tujuan Serantau Muslim bertemu Kesatuan Ulamak Sedunia ini adalah untuk mendapatkan sokongan daripada pihak yang berpengaruh itu bagi menggiatkan lagi usaha pihaknya bersama NGO-NGO lain dalam membantu umat Islam Rohingya.

Katanya, wakil Kesatuan Ulamak Sedunia, Syeikh Walid Al-Haidari memberikan reaksi positif terhadap misi kemanusiaan tersebut dan memberikan sokongan serta persetujuan sepenuhnya terhadap usaha yang dilakukan itu.

Ujarnya, wakil kesatuan itu berkata usaha sedemikan wajar disokong dan dijayakan sebagai satu kebersamaan dan usaha membantu nasib umat Islam di Arakan yang sedang diuji.

“Kami sangat gembira dengan sokongan dan dorongan yang diberikan oleh wakil Kesatuan Ulamak Sedunia dalam pertemuan ini.

“Ini sebagai penyuntik semangat untuk NGO-NGO Islam khususnya di Malaysia menggiatkan lagi usaha membantu umat Islam Rohingya,” katanya.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengerusi Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Fadzli Yusof.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Hakim berkata, Kesatuan Ulamak Sedunia turut memberikan sokongan terhadap Serantau Muslim yang fokus memperjuangkan nasib umat Islam khususnya di negara-negara minoriti Islam.

Jelasnya, Serantau Muslim telah dijemput secara rasmi untuk menjadi sebahagian daripada NGO yang bernaung dibawah Kesatuan Ulamak Sedunia.

TAGS