Malaysia Dateline

Mohamad Sabu

Kesatuan ummah perlu digerakkan untuk bebaskan Baitulmuqaddis

Pembebasan Baitulmuqaddis daripada ancaman zionis tidak akan menjadi realiti selagi tidak ada kesatuan ummah sama ada sesama umat Islam atau seluruh negara yang cintakan kebenaran dan keadilan.

Demikian menurut Presiden AMANAH Mohamad Sabu dalam satu kenyataan sempena hari memperingati Baitul Muqadis atau Hari Al Quds yang diadakan pada setiap hari jumaat terakhir dalam bulan ramadhan setiap tahun.

Ketika ini Zionis Israel sedang menggerakkan jenteranya untuk memperluaskan penjajahan dan rampasan tanah di Tebing Barat dan Lembah Jordan bagi memenuhi pelan penjajahan The Deal of the Century yang diistiharkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada 28 Januari yang lalu.

“Di sana terletaknya Masjidil Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam dan menjadi tempat suci ketiga kepada umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah,” ujarnya.

Penduduk asal dihalau keluar secara paksa oleh Zionis Israel dengan sokongan AS dan Eropah tanpa pembelaaan yang sewajarnya.

Mohamad juga berkata, agak malang bagi umat Islam apabila negara-negara Arab yang berjiran atau hampir kedudukannya dengan Palestin tidak menunjukan kesatuan menentang Israel.

“Malah ada diantara negara-negara ini mengiktiraf kewujudan Israel.

“Manakala negara negara Teluk yang kaya dengan hasil bumi terlalu pro AS yang menjadi pelindung kepada Zionis Israel sehingga tidak mampu berbuat apa apa untuk saudara seagama,” katanya.

Ketika ini katanya, hanya beberapa buah negara umat Islam di Timur Tengah yang berani untuk tidak mengiktiraf Israel seperti Iraq, Syria, Iran dan Lubnan.

Oleh itu beliau menyeru umat Islam dan seluruh manusia yang cintakan keamanan perlu mengembelingkan tenaga untuk berusaha dan bersatu bagi mengembalikan bumi Palestin kepada rakyatnya yang berhak.

“The right to return mesti diperjuangkan. Negara negara Islam perlu didesak agar tidak mengiktiraf Israel dan membantu perjuangan pembebasan Palestin daripada jajahan Zionis Israel.

“Kadangkala kita perlu malu dengan ngo-ngo di Eropah yang lebih lantang memperjuangkan pembebasan Pelestin berbanding sebahagian negara umat Islam yang bernaung di bawah AS dan Eropah,” katanya.

Justeru, bersempena dengan hari jumaat yang mulia di bulan ramadhan ini, beliau mengharapkan ianya akan menjadi pemula kepada perjuangan yang lebih gigih ke arah pembebasan Al Quds.

“Kemenangan semakin dekat apabila kesatuan ummah berjaya dilaksanakan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.