Kesedaran masyarakat cegah penularan denggi, kata Adun Mahkota

Kesedaran masyarakat cegah penularan denggi, kata Adun Mahkota
Muhamad Said Jonit bersama dengan masyarakat setempat ketika program gotong-royong membasmi tempat pembiakan nyamuk

Tahap kesedaran orang ramai terhadap wabak denggi yang mula menular di kawasan perumahan adalah perkara penting yang perlu dititik berat oleh orang awam.

Sebagai langkah bagi mencegah wabak tersebut terutamanya di kawasan berpotensi tinggi seperti di Taman Indah Jaya, Kluang Johor, penduduk serta pemimpin tempatan telah mengambil langkah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka.

Menurut Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit berkata langkah tersebut baik untuk memupuk tahap kesedaran orang ramai berkenaan wabak denggi yang menjadi serius di kawasan tersebut.

Katanya lagi, menurut rekod sebanyak 98184 kes demam denggi telah dilaporkan sehingga minggu ke 38 tahun 2019 di seluruh Malaysia.

“Rekod telah menunjukkan kenaikkan kes demam denggi sebanyak 82.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018 dan peratus kematian akibat denggi turut meningkat serta peningkatan tersebut membabitkan negeri Johor.

“Taman Indah Jaya sebelum ini telah dua kali diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi sepanjang tahun meskipun pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) sebelum ini.

“Dalam rekod menunjukkan daerah Kluang telah menerima peningkatan sebanyak empat kali ganda berbanding tahun 2018.

“Untuk itu saya menggesa langkah-langkah drastik dan efektif dari semua pihak perlu diambil dengan segera sebelum lebih ramai yang akan menjadi mangsa,” ujarnya ketika dihubungi.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa langkah penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dilakukan dan pembabitan orang ramai atau penduduk amat diperlukan seperti mengadakan gotong-royong membasmi tempat-tempat pembiakan.

Beliau turut menegaskan bahawa mustahil untuk penduduk hanya bergantung kepada pihak JKM dalam mengawal wabak denggi yang wujud di kawasan perumahan mereka.

“Usaha penduduk untuk bersama dalam membasmi tempat pembiakan ini penting dan ini yang sedang dijalankan di Dun Mahkota ini. Kita hanya mengambil berat soal kesihatan, keselamatan dan nyawa penduduk di sini.

“Dengan penglibatan yang baik atau padu sahaja dari komuniti dan penduduk, barulah masalah seperti ini akan dapat diselesaikan atau diatasi dengan baik.

“Saya juga mengharapkan usaha seperti ini tidak akan terhenti dan saya akan meneruskan usaha ini bersama-sama dengan pihak JKM ke tempat-tempat yang menjadi tumpuan wabak denggi di Dun Mahkota,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua agensi, jabatan, jawatankuasa penduduk dan badan individu yang terlibat dalam menjayakan program gotong-royong tersebut.

Orang ramai sedang membersihkan kediaman mereka bagi mencegah wabak denggi