Malaysia Dateline

Kesedaran orang ramai terhadap jenayah pedofilia semakin meningkat

Peningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap jenayah pedofilia membuka pintu bagi pihak polis mengheret lebih ramai pelaku seksual itu ke muka pengadilan, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata kebanyakan orang ramai khususnya ibu bapa dan keluarga mangsa sebelum ini memilih untuk mendiamkan diri dan tidak membuat laporan polis kerana bimbang ianya akan memalukan nama keluarga.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, orang ramai mula sedar bahawa pelaku jenayah seksual kanak-kanak itu perlu dihukum menyebabkan bilangan kes tersebut meningkat.

“Jumlah kes berkaitan dengan jenayah pedofilia di negeri Perlis meningkat kepada 38 peratus berbanding tahun lepas menunjukan bahawa orang ramai tidak lagi takut atau malu untuk membuat laporan polis,” katanya kepada Bernama.

Surina berkata pedofilia adalah satu gangguan psikologi di mana individu dewasa cenderung melakukan seks terhadap kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan umur mangsa lima tahun lebih muda daripada pelaku atau suspek.

Beliau berkata Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 turut membuka ruang kepada orang ramai tampil membuat laporan polis terhadap kesalahan tersebut apabila pengakuan daripada mangsa sudah cukup untuk mengheret suspek ke mahkamah.

“Pengadu tidak memerlukan saksi atau apa-apa dokumen atau video sokongan bagi melakukan pendakwaan terhadap pesalah,” katanya.

Katanya mengikut akta tersebut mangsa diberikan kelonggaran untuk menceritakan kejadian secara perlindungan iaitu memberi keterangan dengan dilindungi tabir atau mengunakan rakaman video kerana kebanyakan mangsa mengalami trauma dan tidak boleh bercakap.

Surina berkata pihak polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Jenayah Seksual (D11) mempunyai pakar psikologi yang akan memberi kaunseling kepada mangsa untuk menceritakan kejadian yang menimpanya.

Katanya antara usaha yang dilakukan oleh unit D11 bagi mencegah jenayah ini adalah memberi ceramah kepada orang ramai khususnya ibu bapa agar mereka mendapat pengetahuan tentang jenayah ini.

“Antara pededahan yang dilakukan adalah memberi pengetahuan kepada ibu bapa cara mudah bagaimana melakukan sentuhan selamat terhadap anak mereka agar tidak berlaku unsur jenayah seksual.

“Penjaga juga boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka menyentuh anak-anak secara seksual walaupun atas dasar kasih sayang,” katanya.

Beliau berkata masyarakat perlu faham apakah yang dimasukan dengan jenayah pedoflia agar mereka tidak terlibat sama kerana ibu bapa yang menyembunyikan jenayah ini juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Surina berkata polis menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti penjenayah pedofilia atau individu yang mengalami masalah psikologi ini memandangkan mereka kelihatan normal seperti orang lain.

“Berdasar kes sebelum ini, pelaku pedofilia hanya dapat dikesan selepas berlaku kejadian pencabulan terhadap kanak-kanak,” katanya.

Katanya antara kesalahan jenayah seksual yang biasa dilakukan oleh pelaku pedofilia adalah meliwat, seks kepada kanak-kanak berusia bawah 13 tahun, mengunakan kanak-kanak sebagai objek melepaskan nafsu seks dan melakukan penderaan seksual.

–BERNAMA