Malaysia Dateline

Kesedaran politik generasi baharu bila sebaiknya bermula?

Sayap pemuda dan pemudi  PKR,  Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan umur keahliannya diturunkan dari usia 18 ke 16 tahun. Cadangan itu dikemukakan dalam sesi perbahasan Kongres Nasional 2020 pertubuhan itu.

Sama ada cadangan itu baik atau buruk, ia boleh dibahaskan. Sememangnya ada remaja yang cepat mengalami kesedaran politik, iaitu sekitar usia 14 dan 15 tahun. Ketika mereka masih berada di tingkatan dua dan tiga. Golongan kecil ini cenderung untuk membaca buku politik dan mengikut perkembangan isu semasa.

Semangat dan perasaan ingin tahu mereka adalah tinggi. Jika golongan ini minat pada PKR, sudah tentu mereka bersedia untuk menyertai AMK pada usia 16 tahun, iaitu pada tingkatan empat.

Tetapi golongan ini tidak matang dan boleh jadi naif dengan mempunyai idealisme. Ada kalanya mereka menjadi obses dan fanatik hingga boleh mengganggu pelajaran sekolah masing-masing.

Mereka juga mudah terpesona dengan ideologi dan seseorang pemimpin yang dijadikan idola. Lantaran itu, mereka mudah diperalatkan dan dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin parti di pelbagai peringkat.

Tetapi pada waktu sama golongan ini mempunyai sifat memberontak, bukan saja kepada pihak berkuasa iaitu kerajaan tetapi juga kepimpinan parti. Oleh kerana mereka idealistik dan fanatik, mereka cepat kecewa.

Tidak hairanlah jika mereka akan meninggalkan parti dan beralih hala perjuangan. Ini kerana kedudukan mereka yang tidak matang menjadikan fahaman politik mereka tidak stabil. Memang tidak semua anak muda bersifat intelek. Banyak juga yang mungkin menyertai politik kerana motivasi lain.

Terdapat banyak sebab mengapa pendirian politik seseorang berubah, tidak semestinya kerana fahaman politik. Boleh jadi kecewa dengan idola mereka atau marah pada kepimpinan dan birokrasi parti.

Satu lagi ciri-ciri golongan ini adalah kegemarannya untuk menyertai acara yang bersifat menaikkan semangat dan emosi seperti perhimpunan dan demonstrasi. Tambahan pula kalau ada seruan untuk reformasi, malahan revolusi,

Bagi PKR, tarikan kepada anak-anak muda berlaku apabila Anwar Ibrahim dipecat dan ditangkap pada tahun 1998. Gerakan Reformasi menarik banyak anak muda menyertai Keadilan yang kemudiannya menjadi PKR. Setelah berdekad-dekad berlalu, ada antara mereka yang meninggalkan parti itu.

Tetapi PKR terus menarik ahli baharu. Generasi baharu yang tidak melalui semarak gerakan Reformasi pula menyertai parti itu. Begitulah seterusnya. Untuk generasi ini, jiwa reformasi itu tentulah tidak mendalam.

Bagi AMANAH pula, antara pemimpinnya merupakan anak muda yang menyertai Gerakan Islam yang didorong oleh Revolusi Islam di Iran. Sekitar lewat tahun 1970-an dan awal 1980-an, anak-anak muda, seawal pelajar-pelajar sekolah mengalami kesedaran politik yang berjurus Islam.

Mereka mengimpikan sebuah Malaysia yang bersih daripada korupsi dalam wadah pemahaman Islam. Untuk itu mereka menentang Umno. Perjuangan mereka disalurkan melalui Pas.

Tetapi apabila parti itu memilih untuk menguatkan Umno, maka banyaklah yang keluar dan menubuhkan AMANAH. Mereka ini tidak muda lagi. Generasi baharu yang mendokong gagasan Rahmatan Lil Alamin menyambung perjuangan ini.

Golongan anak muda bawah 16 tahun yang sedar politik tidak ramai tetapi ia memberi sumbangan kepada banyak perubahan politik di dunia pada abad ke-20 di banyak negara.
Lebih banyak lagi ialah mereka yang sedar politik ketika mereka berusia  17 tahun ke atas. Iaitu semasa tingkatan lima, pra-universiti dan universiti. Politik kampus akan memberi wadah untuk mereka aktif dan menggilap bakat berpolitik.

Kalau tidak jadi ahli politik pun, pengalaman politik kampus adalah berharga untuk pekerjaan dan berkerjaya. Tidak semua orang akan menjadi ahli politik.

Walaupun dengan kesedaran dan kefahaman politik yang mendalam, kemahiran untuk menjadi ahli politik tidak semestinya ada. Maka ada yang hanya menjadi aktivis atau penyokong.

Sementara ada pula cukup berpuas hati dengan menjadi pemerhati politik. Namun, semua khalayak politik tetap berguna dan menyumbang pada dunia siasah negara.

Ada juga orang yang sedar politik hanya setelah bekerja dan berkeluarga. Walaupun mereka kelihatan lambat tetapi ada kalangan mereka mampu menjadi ahli politik yang baik.

Namun, pada keseluruhannya, sebuah negara demokratik seperti Malaysia menuntut sebahagian besar warga negara untuk memiliki kesedaran politik. Ini penting sebab undi mereka akan menentukan kepimpinan dan pemerintahan negara.

Pun begitu, tentu ada sebahagian warga negara yang tidak sedar politik sampai ke akhir hayat. Bila mereka mengundi pun, hanya mengikut sentimen yang diperoleh dari media massa arus perdana. Ataupun mengikut saja suasana persekitaran melalui perbualan setempat.

Generasi baharu mempunyai aspirasi dan sudut pandangan politik berbeza, walaupun dalam parti dan fahaman politik serupa. Kebanyakan pendokong PKR tidak melalui suasana demonstrasi pelajar tahun 1974 di mana Anwar turut memainkan peranan. Mereka juga tidak melalui suasana demonstrasi Reformasi setiap petang Sabtu depan Sogo pada tahun 1999. Jadi sudut pandangan politik mereka tentulah berbeza.

Begitu juga dalam AMANAH. Ahli-ahli dari kalangan anak muda tidak melalui suasana keterujaan ketika dunia dilanda gelombang kebangkitan Islam pada awal tahun 1980-an. Tentu sudut perspektif politik mereka juga berbeza.

DAP pun melalui proses yang sama. Parti ini ditubuhkan selepas Singapura dikeluarkan dari Malaysia. Lim Kit Siang adalah anak muda ketika itu, iaitu sekitar tahun 1965. Generasi beliau mempunyai idealisme untuk memperjuangkan Malaysia yang demokratik, adil dan maju.

Daripada tahun 1960-an hingga sekarang tentulah sudah banyak generasi yang menyertai parti itu. Anak-anak muda yang menyertai parti itu kemudiannya tidak mengalami peristiwa suka duka politik generasi pengasasnya.

Umpamanya anak-anak muda yang menyertai DAP selepas tahun 2008 mempunyai sudut pandangan dengan keutamaan politik berbeza daripada mereka yang menyertai parti itu pada tahun 1970-an.

Dengan memahami hakikat ini, parti-parti politik dapat menilai bahawa aspirasi dan sudut pandangan atau outlook politik tidak serupa bagi setiap generasi kerana mereka tidak melalui pengalaman sama.

Bukan saja pengalaman peribadi saja tetapi juga persekitaran politik yang wujud dalam masyarakat dan negara. Lebih-lebih lagi kalau sesuatu generasi atau anak muda hari ini berada jauh daripada pemimpin yang zamannya tidak dapat diapresiasi dahulu.

Kesedaran hakikat ini penting supaya komunikasi antara pucuk pemimpin dengan penyokong di kalangan anak muda dapat dilakukan secara berkesan. Begitu juga komunikasi parti dengan masyarakat yang kini di Malaysia majoritinya adalah orang muda. Jika tidak diambil kira, orang muda akan berasa bosan dengan komunikasi generasi lama.

Nilai-nilai asas seperti kebebasan, keadilan, kebenaran, demokrasi dan kemakmuran tidak berubah. Tetapi tafsiran dan keutamaan terhadap perincian sesuatu nilai itu sudah berubah.

Contohnya, anak-anak muda sekarang terdedah dengan banyak maklumat. Maka reaksi mereka terhadap sesuatu perkembangan tentulah berbeza. Mereka yang biasa dengan hidup penuh kemudahan tentu kurang sabar untuk menanti perubahan.

Tindakan segera adalah dituntut. Dalam hal ini, bukanlah perbezaan antara baik atau buruk pada generasi berlainan. Ia merupakan penyerlahan perbezaan zaman. Generasi kini tidak akan melakukan apa yang dibuat oleh orang dulu.