Malaysia Dateline

Kesedaran sivik rakyat patuhi PKPB bantu kurangkan risiko jangkitan Covid-19

Kesalahan ketidakpatuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat seperti kesalahan lalu lintas pula di Malaysia. Secara rambang, ramai yang melakukannya dengan pelbagai alasan yang kadangkala menggelikan hati pula.

Ada yang mahu menghantar resepi, menghantar makanan kepada kekasih, mengambil beras di rumah mentua dan sebagainya. Ada yang anaknya didenda sehingga bapa terpaksa memecahkan tabung demi membayar denda, dikala kegawatan ekonomi kini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 2 Mei lalu adalah sebanyak 23,680 individu.
Ada yang dituduh di mahkamah ada juga dikompaun. Apabila kadar ketidakpatuhan kemudiannya dilihat semakin meningkat maka tiada lagi kompaun sebaliknya terus dituduh di mahkamah ketika fasa ketiga PKP.

Segelintir rakyat mengambil sikap sambil lewa mungkin menyangkakan boleh terlepas tangkapan. Kajian indeks atau analisis kepatuhan rakyat Malaysia pada undang-undang terutamanya semasa PKP agak menarik jika dapat dibuat.

Secara rasionalnya mengambil perspektif rakyat biasa terkurung daripada kehidupan normanya yang biasa. Ini menyebabkan segelintir orang seolah-olah tidak senang duduk ditambah lagi dengan himpitan ekonomi apabila tidak dapat bekerja mencari sumber saraan hidup juga menumbuhkan masalah sosial yang lain seperti tekanan perasaan, pergaduhan juga keganasan rumahtangga dan sebagainya.

Mungkin juga ada yang menyangkakan pelaksanaan akan tidak seketat mana. Malang tidak berbau dilihat kerajaan menghantar polis juga dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mana-mana terutamanya di sempadan negeri memang tiada kompromi. Ramai mungkin tidak menyangka pelaksanaan PKP akan menjadi sebegini tegas.

Rakyat negara jiran yang termasuk kategori negara maju sebagai contoh sangat patuh kepada penguatkuasaan undang-undang negara mereka dari segi pemanduan, kebersihan, kesedaran sivik dan sebagainya.

Tetapi dilihat segelintir mereka jika masuk ke Malaysia ketika berhujung minggu, merekalah yang membuang sampah di lebuhraya, memandu laju melanggar peraturan had laju dan sebagainya.

Rakyat England juga dilihat patuh pada undang-undang. Pada mereka undang-undang tiada kompromi, tiada wang kopi boleh disogok malah sogokan akan membawa ke ‘neraka’ penjara.

Negara penuh kamera litar tertutup (CCTV) di mana-mana itu sangat mantap memantau rakyatnya. CCTV juga terdapat bagi memantau kesalahan lalu lintas di bandar besar, bandar kecil malah di kampung-kampung terpencil.

Jika melanggar undang-undang lalulintas jika tidak mahu dikompaun perlu menghadiri kelas kesalahan lalu lintas selama beberapa jam lalu terpaksa mendengar ceramah semula tentang lalulintas. Oleh itu, kadar kemalangan di United Kingdom (UK) agak kurang melainkan kes-kes pemandu mabuk.

Selain undang-undang yang tegas atau jenis undang-undang yang mendukung kepatuhan, dari rasa insaf, kesedaran sivik atas kepatuhan atau takutkan undang-undang, pelaksanaan perlu nampak serius.

Sebagai contoh pelaksanaan semasa PKP dilihat sudah cukup bagus. Selain itu, perlu ada sokongan sistem yang lain sebagai contoh penggunaan CCTV, sempadan batu bagi sempadan antara negeri dan sebagainya.

Pemandu perlu berpatah balik jika terdapat sekatan sempadan batu secara mandatori. Apa-apa yang dilakukan pemandu adalah dibuat atas risiko sendiri, sama ada patuh dan patah balik jika tidak mahu berlaku kesesakan di penjara atau menggunakan jalan tikus atau berlari seolah-olah bersukan hingga rentas sempadan negeri maka terpulanglah atas risiko sendiri.

Tetapi notis jalan yang ditutup perlu diberitahu. Yang penting notis peringatan awal telah diberi yang mengurangkan insiden bertikam lidah dengan penguasa yang tidak sepatutnya.

Dahulu, insiden berebut-rebut di stesen bas, komuter, LRT dan sebagainya, memaksa pihak polis dan polis bantuan memantau di tempat awam.

Kesannya sekarang rakyat nampak patuh dan beratur apabila menaiki LRT dan bas awam. Rakyat harus dididik supaya patuh undang-undang. Bagaimana caranya terpulang kepada Kerajaan.

Rakyat perlu ada kesedaran sama ada mahu memiliki mentaliti kelas pertama atau ketiga atau penguatkuasaan perlu mengikut Britain dengan pelaksanaan undang-undang tanpa kompromi juga sama rata.

Jika dilihat kadar kepatuhan PKP mengikut enam negeri teratas agak menarik seperti di bawah (95%):
1. Perak
2. Terengganu
3. Pahang
4. Negeri Sembilan
5. Perlis
6. Melaka

Dilihat negeri kecil relatif lebih mudah diurus rakyatnya berbanding negeri besar. Negeri besar seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan sebagainya, dilihat terkeluar carta.

Mungkin sebab populasi yang pelbagai menyukarkan kepatuhan. Adakah isu kenegerian itu menjadi faktor kepatuhan?

Haruslah diingat dalam masa PKP ini negara lain dunia seperti India, Kenya, Afrika Selatan, Perancis, juga China agak keras perintah berkurung mereka jika dibandingkan dengan Malaysia.

Di Perancis sebagai contoh, sistem dokumen yang dinamakan “attestation de déplacement dérogatoire” digunakan sebagai pas kebenaran perjalanan semua individu.

Kegagalan membawa pas akan didenda RM630 untuk satu kesalahan dan satu pas yang perlu dicetak sendiri oleh orang ramai, hanya laku untuk satu hari saja.

Tentera Afrika Selatan juga sudah mula menggunakan meriam air dan peluru getah dalam mengawal situasi, sejak hari pertama perintah kawalan dilaksanakan.

Peluru getah itu khas disediakan untuk individu yang masih keluar membeli belah seperti biasa. Filipina pula sebagai contoh Presidennya mengarahkan agar rakyatnya boleh ditembak jika terdapat perlanggaran.

Akhir kata, secara amnya perlu ada kesedaran sivik minda rakyat sendiri untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam pematuhan kepada PKP, PKPB atau prosedur operasi standard (SOP) itu sendiri.

Jika mereka berasa boleh hidup aman seperti biasa dikala tiada vaksin Covid-19 lagi, terpulanglah. Fikirkanlah juga kesan ketidakpatuhan orang lain yang juga mungkin keluarga, rakan-rakan juga saudara-mara anda sendiri. Anda mampu mengubahnya!

*Dr. Noor Dzuhaidah Osman merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).