Kesejahteraan negara kerana nilai, bukan kerana tembok dan senjata

Kesejahteraan negara kerana nilai, bukan kerana tembok dan senjata

Seringkali kita mendengar penggunaan ayat aman dan sejahtera digunakan dalam slogan yang digunakan di peringkat yang besar untuk negara dan negeri seperti ‘Malaysia Aman dan Sejahtera’.

Penulis percaya jika kita ditanya apa perbezaannya ramai antara kita akan terkeliru atau jawapannya nanti adalah kedua perkataan aman dan sejahtera akan diberi maksud yang sama.

Jika disemak maksud yang didefinasikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, kedua-duanya mempunyai maksud yang berbeza. Walau jurang maknanya tidak jauh berbeza, ia akan membawa pemahaman yang sedikit tergelincir.

Aman membawa maksud; tidak ada sesuatu yang membahayakan atau yang menakutkan dan sejahtera pula merujuk kepada; aman dan makmur. Bagi penulis keamanan belum tentu menjamin kewujudan rasa sejahtera akan tetapi kesejahteraan pula sempurna kerana elemen aman itu wajib ada di dalamnya.

Apabila membicarakan tentang keamanan pastinya ia akan dibahaskan berkait dengan bagaimana sistem tembok dan senjata yang dimiliki dalam mempertahankan sesebuah negara yang berdaulat untuk berfungsi. Namun yang disebut sejahtera itu belum tentu mampu memenuhi maksud sebenarnya.

Penulis tidak bersetuju jika hanya menganggap sesebuah negara itu diukur kekuatan sistem pertahanannya hanya dari lensa persenjataan dan pertahanan semata.

Seorang dari berjuta ahli filsuf dan pemikir yang ada bernama Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadrami dalam karyanya yang ulung Muqaddimah menceritakan tentang peranan seorang pemimpin.

Antara coretan beliau yang lebih dikenali dengan nama Ibnu Khaldun adalah bagaimana seorang pemimpin yang bersikap buas, tamak, oportunis yang akhirnya menjadi penindas mampu menyebabkan ekonomi sesebuah negara boleh menjadi mundur.

Bukan itu saja, atas kepincangan sifat dan sikap seorang pemimpin itu, Ibnu Khaldun turut menyatakan bahawa sesebuah masyrakat akan menjadi jahil akan budayanya sendiri. Natijahnya nanti kata tokoh Islam dari abad ke-14 itu, sikap pemimpin ini akan meruntuhkan peradaban dan tamadun mereka sendiri.

Selain dari filsuf Islam, seorang filsuf China yang beraliran Konfusianisme, Mensius juga mempunyai pandangan dan rumusan yang sama seperti Ibnu Khaldun. Bagi Mensius, antara satu syarat penting yang boleh menjamin keamanan dan kesejahteraan negara adalah mempunyai barisan pimpinan yang baik.

Maksud yang layak disapa dan dilayan sebagai pemimpin yang baik, dihurai oleh filsuf yang dikenali sebagai “Sang Bijaksana” sebagai seorang yang penyayang. Mensius beranggap seorang pemimpin yang tidak adil akan menyebarkan kejahatan di kalangan yang dipimpinnya.

Sikap tidak amanah dan zalim akan melarat ke institusi dan agensi yang berada di bawah tampuk pemimpin tersebut. Ini kerana tindakan pegawai di bawah adalah cerminan sikap ketua mereka yang berjawatan tinggi di atas.

Selain pemimpin yang perlu dipertanggungjawabkan adalah masyarakat yang memilih. Setelah sekian lama masyarakat dididik dengan sikap toleransi yang cacat, masyarakat perlu lebih berhati-hati memilih pemimpin.

Ada yang berkata merekalah tiang bangsa dan ada juga yang melaungkan merekalah mujahid agama, walhal dalam mereka sedar atau tidak mereka sedang menjadi petualang bangsa dan penunggang agama.

Ada yang menggunakan kisah Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai paksi untuk mengkisahkan tentang keadilan. Sedangkan dari kisah keduanya tidaklah membantu penekanan soal keadilan yang tuntas.

Seorang taat membuta tuli manakala yang seorang lagi mengamuk yang dibayangkan sebagai prihatin akan perlunya dia menuntut keadilan. Maka kisah itu mengalir dan bersemadi di dalam arus pemikiran masyarakat terbanyak.

Lalu wujudlah sikap toleransi tidak bertempat oleh rakyat kepada pemimpin. Yang salah didiamkan walau yang dibuat baik hanyalah sebesar zarah. Dek kerana terbuai dengan sikap massa yang kononnya sedang mempertahankan institusi terkait bangsa dan agama.

Tak kurang juga peranan agamawan agar mereka jujur dengan ilmu yang disemai dikotak dada mereka. Tokoh yang diangkat citra mereka menjauh dengan apa yang disudutkan oleh agama kepada mereka yang dilantik selaku pemimpin.

Bukan sahaja berani menyatakan kebenaran disaat pemimpin melakukan kesalahan dan kesilapan, tetapi jika itu sendiri melibatkan batang tubuh sang agamawan, mereka tidak terkecuali dan mudah terhapus akan dosa tersebut.

Ibnu Khaldun menyifatkan pemimpin yang baik adalah mereka yang terhindar akan sifat kebendaan dan haloba. Ada segilintir besar hanya menjadikan al-Quran sebagai peluru ketika berhujah. Namun akhlak yang dibekalkan tuhan melalui Al Quran sedikit pun tidak diamalkan.

Jika ini berlaku dan berterusan, maka yang lahir adalah mereka yang hanya menghafaz dan bukan manusia yang mengaplikasikan nilai al-Quran.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”-Surah Al Hujurat, ayat 13.

Telah disebut tujuan mengapa Allah menjadikan kita ini tidak satu agama dan satu bangsa. Tentunya untuk kita saling berkenalan dan berurusan. Binalah setinggi mana pun tembok pertahanan untuk menghalang musuh dari luar melancarkan serangan, tetapi jika musuh (merujuk sikap bangsa) itu sebenarnya berada di dalam, ia bukanlah sebuah binaan yang boleh dibanggakan.

Penulis sebenarnya mengimpikan agar Malaysia ini dapat dilayan dan diangkat menjadi sebuah negara bangsa. Sekaligus ianya dapat menyempurnakan kesejahteraan yang seluruh manusia dambakan dalam kehidupan bernegara sama ada untuk keperluan semasa atau buat bakal pewaris negara yang akan menyambung legasi kita.

Jika ditelusuri Sahifah Madinah, di sana telah berlakunya penyatuan di antara kaum muslimin dan yahudi. Walau komuniti yang membentuk negara Madinah itu tidak disebut negara bangsa oleh Nabi Muhammad SAW, namun baginda menggunakan ummah sebagai kata gantinya.

Massa Malaysia harus menuju ke arah pembentukan gagasan seperti Madinah yang telah dikeluarkan dari kepompong qabilah (suku-suku kaum). Rasa bahagia dan tenteram itulah yang dipanggil sejahtera dengan Islam menjadi tunggaknya.

Besar harapan penulis untuk Malaysia mempunyai jaminan sebagai negara yang aman dan sejahtera. Itu adalah tanggungjawab semua dari kita. Melayu, cina, India, orang asal, Iban, Kadazan, Murut, atau Muslim, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain, ini adalah tugas kita bersama.

Memastikan Malaysia ini dipandang mulia dan tinggi bukan hanya kerana pesawat tempur, senjata yang canggih, tembok pertahanan yang ampuh, tetapi biarlah kerana nilai perpaduan atas nama bangsa Malaysia kita disanjung seantero dunia dan semesta.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”- Surah Ar-Ra’d, ayat 11.

Penulis tinggalkan ia sebagai cabaran kepada semua yang memikirkan masa depan tanah air yang kita sayang dan cintai.