Malaysia Dateline

Kesemua 3 usul Ketua Pembangkang DUN Melaka ditolak

Kesemua tiga usul yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Adly Zahari hari ini ditolak oleh kerajaan Barisan Nasional.

Adly yang juga ADUN Bukit Katil telah mencadangkan tiga usul untuk dibincangkan dalam Persidangan Kedua, Penggal Pertama, DUN Melaka Kelima Belas yang bermula hari ini.

Tiga usul berkenaan adalah berkaitan isu bangunan milik kerajaan negeri yang terbiar, isu ekonomi anak muda dan golongan B40 dan isu pendidikan Islam untuk anak muda.

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka itu meminta Kerajaan Negeri menubuhkan satu pasukan petugas khas (Task Force) untuk menilai dan meneliti bangunan-bangunan milik Kerajaan Negeri yang terbiar dan merangka pelan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan ianya tidak terus menjadi projek gajah putih.

Kesemua 3 usul Ketua Pembangkang DUN Melaka ditolak
Persidangan Kedua, Penggal Pertama, DUN Melaka Kelima Belas yang bermula hari ini.

Manakala usul kedua pula adalah berkaitan isu ekonomi anak muda dan golongan B40 di mana beliau meminta kerajaan negeri merangka pelan pembangunan bakat masa hadapan (Future Talent) yang komprehensif untuk anak muda dan pelan pembangunan ekonomi untuk golongan B40 di Negeri Melaka demi kemakmuran rakyat secara keseluruhannya.

Dan usul ketiga beliau meminta kerajaan negeri mengambil ketetapan untuk menambahbaik dan memperkasa sistem pendidikan Islam agar dapat melahirkan generasi muda yang dinamik dan progresif.

“Malangnya kesemua usul telah ditolak oleh Kerajaan Barisan Nasional,” katanya ringkas.