Malaysia Dateline

Kesemua calon dari AMANAH layak bertanding PRU15

Sehingga tamat tempoh sesi penamaan calon pada hari ini, semua calon Pakatan Harapan daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) yang terdiri daripada 54 Parlimen dan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) telah secara rasmi diumumkan dan diisytiharkan sebagai calon-calon yang sah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara ini dimaklumkan Ketua Pengarah Jentera Operasi Pentadbiran dan Kempen PRU15 AMANAH Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam kenyataan.

Pada kali ini, kesemua calon AMANAH bertanding menggunakan lambang Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagaimana ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini.

“Mewakili seluruh kepimpinan AMANAH, saya ingin menyampaikan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera khususnya kepada Sekretariat Nasional, Sekretariat Negeri-negeri, Biro Undang-undang (KANUN), Biro Pilihan Raya, Media Oren dan semua Pasukan/Unit serta individu-individu yang telah bertungkus lumus memastikan kejayaan di Fasa Pertama ini.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin menasihatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi SOP SPR/KKM/PDRM terutamanya ketika berada di khalayak ramai bagi membendung ancaman penyakit berjangkit dan musim tengkujuh.

“Suka untuk saya ingatkan bahawa fasa yang seterusnya akan lebih mencabar dan menuntut semua pihak untuk bekerja lebih kuat dan bersistematik berpaksikan kepada semangat HARAPAN dengan matlamat yang jelas untuk menewaskan BN/PN melalui proses demokrasim,” kata beliau.

Baca juga: Azwan Ali beri sokongan pada calon PH selepas umum tarik diri bertanding di Gombak