Kesihatan Abdul Hadi bertambah baik

Kesihatan Abdul Hadi bertambah baik

Kesihatan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertambah baik selepas melalui tempoh kritikal 24 jam pertama selepas pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara(IJN) semalam.

Setiausaha politiknya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Abdul Hadi nampak ceria hari ini dan sudah boleh menjamah makanan lembut.

“Antara perkara pertama yang disebut oleh Tuan Guru kepada saya malam tadi setelah mula bersuara ialah supaya menyampaikan salam kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau.

“Pagi ini tuan guru (Hadi) juga nampak keceriaannya dan sudah mula menjamah makanan lembut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak keluarga dan pucuk pimpinan Pas mengajak ahli serta penyokong parti itu terus berdoa supaya proses pemulihan Abdul Hadi berjalan lancar.

Katanya, mengikut nasihat IJN, hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang.

Institut Jantung Negara (IJN) semalam mengumumkan kejayaaan pembedahan tiga jam oleh Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub dan kumpulannya.

COMMENTS

Wordpress (0)