Kesihatan jantung hanya 24 peratus, Jalil Hamid terpaksa batalkan niat untuk buat ibadah haji

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak mengimpikan untuk menunaikan ibadah haji apatah lagi pada usia yang lebih tua namun disebabkan masalah kesihatan maka tak tertunailah impian.

Begitulah kesedihan yang dikongsikan pelakon veteran Jalil Hamid selepas hasrat menunaikan ibadah haji tahun ini tidak kesampaian.

Pelakon berusia 67 tahun itu sudah menyimpan niat sejak 2008 namun gagal memenuhi syarat kesihatan ditetapkan kerana masalah jantung yang dihadapinya lapor Kosmo! Online.

“Jujurnya, saya kecewa sebab harapan mengerjakan haji terpaksa dilepaskan. Jantung belum pulih sepenuhnya dan syarat Tabung Haji tidak sesuai dengan keadaan saya.

“Kalau nak pergi buat haji, peratusan kesihatan jantung sekurang-kurangnya perlu melepasi 35 peratus, tapi jantung saya hanya capai tahap 24 peratus.

“Itu yang buat saya kecewa sebab sudah tunggu lama sejak 2008. Memang saya nak pergi sangat,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Walaupun berdepan masalah jantung yang belum sembuh sepenuhnya, itu tidak mematahkan semangat Jalil untuk terus bekerja.

“Makin berusia, kita berdepan dengan banyak perkara, tapi alhamdulillah, kesihatan saya semakin pulih selepas tiga tahun.

“Kalau nak diikutkan, saya sudah mula rasa sihat. Sebab itulah saya boleh mula bekerja, tapi apabila diperiksa secara terperinci, jantung masih belum sembuh sepenuhnya.

“Saya tetap boleh buat kerja dan ada juga tawaran berlakon, terutama bila hampir Aidilfitri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jalil memaklumkan dia tidak menghalang isterinya untuk melaksanakan ibadah haji tanpanya kerana panggilan itu bukan senang diterima.

“Tabung Haji tawarkan tempat untuk saya dan isteri. Walaupun saya tak dapat pergi, saya izinkan isteri mengerjakan haji sebab ini adalah jemputan Allah untuknya.

“Saya tak berupaya, biarlah dia yang pergi. Kalau tolak, rugi buatnya sebab tiada alasan untuk tidak pergi,” tambahnya.

Baca juga: Hanya jadi duta, Jalaluddin Hassan bersedia dipanggil SPRM untuk bantu siasatan