Malaysia Dateline

Kesihatan Ketua Pemuda PH bertambah baik

Keadaan kesihatan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin yang dijangkiti Covid-19 bertambah baik.

Beliau yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional tersebut kini memberikan reaksi positif selepas agak kritikal dan lemah pada 24 Julai lalu.

Perkembangan selepas genap dua minggu Shazni disahkan dijangkiti Covid-19 itu dimaklumkan Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional, ‘Asim ‘Abdullah.

“Alhamdulillah, keadaan Shazni Munir memberikan reaksi positif dan bertambah baik hari ini berkat daripada doa semua sahabat-sahabat.

“Bersama kita teruskan berdoa buat Shazni Munir,” katanya hari ini.

Pada 24 Julai lalu, Shazni dilaporkan bergejala serius iaitu tahap 4 selepas lima hari diserang demam panas.

Isteri dan anak-anak beliau turut disahkan positif Covid-19.

“Setelah demam panas dan sakit yang amat sangat di kepala dan seluruh anggota badan, dengan penuh dukacita saya disahkan positif Covid-19.

“Kini sedang menunggu arahan selanjutnya daripada PKD. Mohon doa rakan-rakan agar saya dan keluarga kuat menghadapi ujian sakit ini,” katanya dalam ciapan di Twitter pada 19 Julai lalu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, purata tempoh rawatan bagi tahap 4 adalah antara 14 ke 16 hari mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).