Malaysia Dateline

Kesihatan Mental merudum, apa usaha kita

Angkatan Wanita Amanah (AWAN Nasional) menzahirkan rasa dukacita dengan kejadian bunuh diri yang semakin meningkat akhir-akhir ini di negara kita.

Hari ini kita membaca laporan seorang warga emas berusia 66 tahun ditemui mati di rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan semalam selepas dipercayai bunuh diri akibat kemurungan dijangkiti Covid-19.

Kelmarin dilaporkan kejadian menyayat hati kematian seorang pembantu perubatan berusia 32 tahun akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah hospital di Perak.

Pemuda yang belum berkahwin itu ditemukan dalam keadaan terbaring lewat petang 20/1/2021 di kawasan tempat letak motosikal oleh seorang pengawal keselamatan hospital berkenaan.

Pihak Polis melaporkan sebelum kejadian beliau dikatakan mempunyai masalah kesihatan, sedang menjalani rawatan dan tidak mahu membebankan keluarganya.

Allahyarham sempat meninggalkan nota pesanan menyatakan dia tidak mampu lagi mengharungi kehidupan dengan masalah kesihatan mental yang dialaminya.

Beliau juga di beritakan telah bekerja selama 24 jam sebelum kejadian malang tersebut.

AWAN Nasional mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Allahyarham di atas kehilangan yang mengejutkan ini. Semoga mereka dapat menghadapi ujian ini dengan tabah dan sabar.

Di lihat dari sudut sumber manusia, negara kehilangan seorang lagi warganya pada usia produktif dan ini belum lagi mengambil kira kesusahan yang dialami oleh keluarganya akibat kematian muda ini.

Bunuh diri merupakan kemuncak tekanan mental yang dihadapi seseorang sehingga berada di tahap luar kewarasan dan mengambil tindakan nekad menghabiskan nyawa mereka sendiri.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Oktober 2020 pihak polis mencatatkan sebanyak 266 kes bunuh diri dengan 25 peratus daripadanya disebabkan beban hutang yang tinggi.

Bayangkan secara purata lebih 30 orang bunuh diri sebulan atau seorang setiap hari dalam tempoh tujuh bulan pertama PKP.

Statistik juga menunjukkan 24 peratus kejadian bunuh diri disebabkan masalah keluarga, diikuti kes rumah tangga sebanyak 23 peratus, dan 15 peratus lagi atas faktor cinta.

Lain-lain punca bunuh diri termasuk bebanan kerja, halusinasi, mental, media massa serta dadah pula direkodkan sebanyak 13 peratus.

Paling penting tekanan dari pelbagai sudut akibat PKP dan kini perintah Darurat telah mengakibatkan kesihatan mental rakyat kita berada di tahap meruncing sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

Petugas kesihatan di barisan hadapan tidak terkecuali. Kajian yang dilaporkan media menunjukkan 20-30% frontliner petugas barisan hadapan sektor kesihatan mengalami gangguan mental dalam pelbagai bentuk termasuk kemurungan, kegelisahan dan sukar tidur.

Walaupun kesihatan mental rakyat Malaysia kian merudum, bilangan pakar kesihatan mental, terutamanya dalam perkhidmatan awam belum mencukupi.

Data dari tahun 2018 menunjukkan terdapat 410 pakar psikiatri di negara ini dengan nisbah psikiatri kepada penduduk 1.27 per 100,000. Ini jauh lebih rendah daripada nisbah disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) antara satu hingga 10,000.

Bilangan pegawai psikologi kaunseling dalam negara juga masih tidak mencukupi iaitu dengan nisbah kaunselor kepada individu adalah 1:52,000, sedangkan nisbah normal adalah 1:500.

Ini diakui oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Muhammad Noorhisham Abdullah yang menyebutkan bahawa talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan menerima lebih 35,000 panggilan dari Mac hingga Oktober dan dikendalikan oleh hanya 148 kauselor Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kemudahan mendapatkan bantuan perubatan juga menjadi masalah. Kawasan pedalaman kurang mendapat bantuan kesihatan mental berbanding dengan kawasan bandar.

Dalam keadaan situasi yang parah sebegini Belanjawan 2021 memberi peruntukan RM24 juta yang amat sederhana bagi menangani isu kesihatan mental melalui pengukuhan program kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan serta penyalahgunaan substans.

Persoalannya cukupkah peruntukan seperti ini bagi menangani masalah besar yang membabitkan kesejahteraan mental rakyat.

Jika kita tidak menambah pelaburan dalam kesihatan mental sekarang, akibat negatif pada keadaan ekonomi, sosial dan kesihatan akan lama dan merebak dengan bahayanya.

Tidak ramai orang sedar bahawa bagi setiap pelaburan RM 1 untuk kecelaruan mental yang sering ditemui seperti kemurungan dan kebimbangan, pulangan RM 5 dapat dikecapi dalam bentuk kesihatan dan produktiviti.

Kesihatan Mental adalah satu cabaran besar yang semakin besar dihadapi rakyat di era pandemik covid-19 dan perlu ditangani secara bersepadu .

Sejauh mana kerajaan prihatin akan kesihatan rakyat juga bergantung kepada sejauh mana kesihatan mental menerima perhatian yang wajar.

Justeru Awan Nasional mencadangkan agar:

1. Kempen Kesedaran tentang kesihatan mental diperhebatkan perlu diperhebatkan oleh pihak Kerajaan dan bukan kerajaan. Amat penting bagi masyarakat awam dan ahli keluarga mengetahui gejala gangguan dan penyakit mental supaya mereka boleh mendapatkan bantuan serta memberi sokongan yang diperlukan.

Paling utama mereka dapat mengesan bila tahap penyakit mental itu sampai ke tahap yang membahayakan dan memerlukan rawatan pakar di hospital.

2. Fokus juga perlu diberikan dalam menyediakan lebih banyak talian bantuan untuk kesihatan mental. Memang benar Kementerian Kesihatan dan pihak NGO ada menyediakan talian khidmat psikososial kesihatan mental namun penyebaran maklumat berkenaan perkara ini perlu di tingkatkan.

3. Sudah tiba masanya pihak Kerajaan melalui kementerian berkaitan membangunkan Pelan Tindakan Kebangsaan Kesihatan Mental merangkumi semua aspek pencegahan dan perawatan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan mental rakyat Malaysia.

Pelan Bersepadu ini mesti melibatkan semua pihak pemegang taruh dari badan kerajaan dan bukan kerajaan dan diberikan peruntukan yang sewajarnya demi kesejahteraan dan kesihatan mental rakyat sesuai dengan piawaian antarabangsa.

Sesungguhnya pembinaan sebuah negara Rahmah yang maju dan makmur memerlukan rakyatnya yang sihat dan kuat termasuk sihat pemikiran dan mentalnya.

—————–

Penulis adalah Pengerusi Biro Kesihatan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional.