Malaysia Dateline

Kesihatan rakyat jadi keutamaan walau peruntukan kurang

Mengakui banyak peruntukan rakyat terpaksa dipotong, namun begitu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan masih mementingkan penjagaan kesihatan rakyat dengan skim-skim diperkenal dalam Belanjawan 2020.

Jelasnya, peruntukan Skim Peduli Kesihatan (PeKa 40) sedikit sebanyak dapat membantu individu tidak berkemampuan untuk mendapatkan kemudahan perkhidmatan kesihatan.

“Saya rasa kebanyakan peruntukan memang dipotong, tapi saya tahu ada penambahan kes dan mungkin ada ‘adjustment’ sedikit untuk peduli sihat.

“Peduli sihat, kita bagi nilai sebanyak RM500 dan ada pandangan yang kata memadai bagi RM300. Tapi kita lebih fikir untuk meramaikan masyarakat yang dapat manfaat dari skim ini.

“PeKa B40 juga telah diperluas liputan kepada individu berusia 40 tahun ke atas berbanding had usia 50 tahun sebelum ini yang mungkin ramai lagi tak tahu,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita AMANAH Nasional, turut mengingatkan orang ramai untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital berdekatan sebagai prosedur bagi melayakkan diri menerima bantuan tersebut.

“Saya nak ingatkan, kalau nak melayakkan diri, kena buat pemeriksaan supaya data tentang kesihatan kita berada dalam sistem

“Kena pergi klinik panel, buat saringan penyakit dan selepas itu, nama akan di rekod dalam sistem. Sekiranya penyakit tersebut termasuk dalam tawaran PeKa 40, dia akan dapat manfaatnya,” jelasnya.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 berkata, kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta itu kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Kajian itu akan meliputi empat perkara antaranya meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021.

Sementara itu, diminta mengulas tentang tambahan tempoh cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan itu.

Beliau berkata, tempoh 3 bulan sememangnya diperlukan untuk seorang wanita yang bergelar ibu untuk pulih dan memberi sepenuh perhatian dalam penjagaa anak.