Malaysia Dateline

Kesihatan rakyat Sarawak digadai jika adakan PRN dalam masa terdekat

Kenyataan akhbar Gabungan Parti Sarawak untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dalam masa terdekat ini bakal menjadikan nyawa dan kesihatan rakyat Sarawak berisiko besar dijangkiti COVID-19.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, ini adalah manifestasi kepentingan diri daripada GPS bagi memanfaatkan pandemik COVID-19 meraih kepentingan politik.

Beliau berkata, walaupun hanya terdapat satu kes jangkitan baru di negeri ini, tetapi ia bukanlah jaminan bahawa tidak akan ada penularan wabak COVID-19 sekiranya PRN diadakan.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terpaksa dibubarkan pada 30 Julai 2020, hari penamaan calon 12 September dan disusuli hari pengundian pada 26 September yang mana ketika itu Sabah hanya merekodkan satu kes sahaja sebelum pembubaran DUN.

“Selepas itu, kes telah meningkat menjadi dua digit dan setelah hari pengundian, kes-kes jangkitan baru menjadi tiga digit,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Chong, situasi sekarang ini adalah lebih buruk jika dibandingkan dengan masa DUN Sabah dibubarkan Julai lalu.

Untuk itu, tambah beliau lagi adalah tidak bertanggungjawab sekiranya GPS yang juga Kerajaan Negeri Sarawak memandang ringan dengan membubarkan DUN dalam masa terdekat ini ketika kes-kes yang direkodkan terus meningkat.

“Dalam kes Sabah, Ketua Menteri ketika itu tidak mempunyai pilihan selain membubarkan DUN kerana rampasan kuasa oleh UMNO manakala di Sarawak, Ketua Menterinya tidak menghadapi masalah rampasan kuasa.

“Ketua Menteri Sarawak mempunyai masa sehingga Jun 2021 untuk membubarkan DUN. Oleh itu, tidak ada alasan yang wajar baginya untuk bergegas mengadakan PRN tahun ini,” ujarnya.