Malaysia Dateline

‘Kesihatan Tun Mahathir makin baik, selera makan bertambah’

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) menunjukkan peningkatan yang baik hari ini.

Anak perempuan beliau, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan, Tun juga mempunyai selera makan yang bertambah baik dan sempat berseloroh dengan ahli keluarga yang berada di sisinya.

“Tun Dr Mahathir juga diberitahu mengenai ucapan selamat yang disampaikan oleh begitu ramai pihak termasuk pemimpin-pemimpin negara asing serta orang ramai.

“Tun Dr Mahathir berserta keluarga, berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan agar beliau segera pulih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Marina juga menyampaikan pesanan Mahathir yang memohon agar orang ramai tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya.

Mahathir juga akan terus mendapat rawatan di IJN di bawah pengawasan pakar tempatan.

Bagaimanapun bmasa ini, pihak IJN masih tidak membenarkan pelawat selain dari keluarga terdekat.

Mahathir sebelum ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 7 Januari lalu dan dibenarkan keluar pada 13 Januari lepas.