Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama

Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama

Pidato Presiden Sempena

Konvensyen Nasional 2019 AMANAH

6 Disember 2019

IDCC, Shah Alam

 

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Katakanlah: Ya Tuhan yang memiliki segala kekuasaan. Engkau berikan kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau atas tiap-tiap sesuatu adalah Maha Kuasa. – Ali Imran : 26

Engkau masukkan malam kepada siang dan Engkau masukkan siang kepada malam, dan Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau memberi rezeki siapa yang Engkau kehendaki dengan tidak berkira. – Ali Imran : 27

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,

SELAMAT DATANG PERWAKILAN DAN PEMERHATI

Pertama-tamanya, marilah sama-sama kita merafaqkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas segala pemberian dan nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita sehingga dapat berhimpun dalam Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga kali ke-4 sejak ditubuhkan.

Konvesyen Nasional AMANAH pada hari ini juga adalah kali kedua selepas pembentukan Kerajaan Pakatan Harapan. Jika diimbau kembali, pada tahun lepas, kita berada di Ipoh, tahun sebelumnya di Alor Star dan sebelum itu pelancaran parti pada 2015 di Shah Alam. Maka, tahun ini kita kembali semula ke sini yang juga tempat permulaan kita, untuk bersama- sama memperteguhkan iltizam serta menggalas tanggungjawab besar sebagai sebuah parti yang telah menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu Malaysia.

Ayat yang dibacakan pada awal tadi secara jelas memberi makna bahawa Allah lah, Tuhan yang memberi kekuasaan kepada manusia dan berhak menarik kekuasaan itu. Dia lah jua yang memuliakan manusia dan menghina manusia. Ayat ini merupakan satu peringatan tegas kepada mereka yang terdahulu dan terkemudian, termasuklah kita yang memerintah pada hari ini.

Mewakili kepimpinan parti, saya mengalu-alukan kehadiran seluruh tetamu, para Perwakilan dan Pemerhati dan juga selamat datang kepada ahli-ahli baru bersama keluarga besar Parti Amanah Negara. Saya yakin kemasukan ahli-ahli baru ini akan menambahkan lagi kekuatan parti khususnya dan Pakatan Harapan amnya.

Kerajaan PH sedar akan pentingnya negara dan rakyat kekal dalam keadaan yang stabil. Mutakhir ini segala bentuk jurang ekonomi pendapatan dan peluang, sama ada di antara kaum atau dalam sesuatu kaum, atau wilayah dan negeri, ditangani dengan melakarkan Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai agenda pembangunan Negara.

Justeru sangat wajar dan bertepatan bagi Konvensyen Nasional 2019 AMANAH kali ini, mengangkat tema “Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama” dalam suasana satu setengah tahun berada dalam pemerintahan Kerajaan PH. Kerajaan baharu ini akan memastikan rakyat sentiasa dalam keadaan aman dan stabil dan tidak akan mengizinkan usaha-usaha untuk mencetus suasana ketidakstabilan. Sesuai dengan natijah kemenangan yang seharusnya membawa kedudukan kestabilan dan aman.

Hanya dengan kestabilan dan keamanan, kesempatan untuk membina semula negara dapat digerakkan, di samping peluang menarik pelaburan asing dan tempatan serta menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan sosial dan kegiatan ekonomi untuk menjana pertumbuhan dan meningkatkan pendapatan perkapita rakyat. Kestabilan ini memungkinkan kerajaan mencapai cita-cita Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 seperti yang dilancarkan YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

10. Akhirnya dengan wawasan ini kekayaan negara akan bergerak secara lebih inklusif merentasi seluruh segmen dan lapisan rakyat, dan tidak terhimpun di sekitar kelompok tertentu sahaja, khususnya di kalangan yang terlalu kaya. Ini ditegaskan Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 7:

Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang- orang musafir. (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.

Menjadi tanggungjawab kita semua sama ada pimpinan dan ahli-ahli untuk bekerjasama bagi menggerakkan rakyat untuk mengisi hasrat tersebut agar generasi akan datang dan negara akan berkembang pesat dan menjadi contoh negara Islam yang didiami oleh pelbagai kaum dan agama- budaya, tetapi aman damai dan maju. Berbeza dengan pandangan masyarakat antarabangsa terhadap umat Islam seluruh dunia kini, yang dianggap sebagai mundur, sarat dengan konflik dan peperangan.

Bagi mencapai hasrat dan objektif murni tersebut, negara perlu mengekalkan kestabilan dalam semua aspek, termasuk keamanan sosial, kestabilan ekonomi, hubungan kaum, agama dan budaya, bagi memastikan segala yang dihasratkan akan terlaksana dengan baik.

Hadirin dan hadirat sekalian,

SETAHUN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

Alhamdulillah, hari ini genap 19 bulan kerajaan Malaysia Baharu. Walaupun pada usia yang muda, tetapi beberapa pencapaian telah pun berjaya diperolehi. Pada tahun ini, Malaysia berada di kedudukan ke-16 daripada 163 negara paling aman di dunia dalam Global Peace Index 2019. Ia meningkat hampir 10 anak tangga berbanding tempat ke-25 pada tahun 2017. Di peringkat Asia, Malaysia berada di tempat ketiga selepas Singapura dan Jepun dan di tempat pertama negara paling aman di kalangan negara- negara Islam.

Ia satu peningkatan yang amat memberangsangkan dan memberikan gambaran peningkatan tahap keselamatan dan penurunan ancaman dalaman dan luaran terhadap keamanan dan kedaulatan negara. Peningkatan kedudukan dalam Global Peace Index ini juga memberi makna tahap keamanan dan kebebasan rakyat untuk melaksanakan aktiviti harian dan amat penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam negara kita. Peningkatan indeks keamanan ini berkait rapat dengan peningkatan usaha kita melaksanakan diplomasi pertahanan dengan negara- negara jiran dan kuasa-kuasa besar dan juga peranan bersama semua pihak di pelbagai kementerian dalam kerajaan dan luar kerajaan di negara kita.

Sekilas pandang prestasi ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.4% pada suku ketiga 2019, sedikit terjejas berbanding 4.9% pada suku kedua dalam tiga bulan sebelumnya, kerana berdepan dengan perang dagangan di antara dua gergasi ekonomi dunia Amerika Syarikat dan China, dan ketidaktentuan dalam ekonomi global. Satu lagi prestasi yang baik, meskipun persepsi umum adalah sebaliknya, ialah kadar inflasi yang mampu dikawal dengan kekal rendah iaitu sekitar 1.1 peratus pada tahun 2019 berbanding 3.7 peratus pada tahun 2017. Pelaburan Asing Langsung juga telah mencatat peningkatan sebanyak 97.2% atau RM49.5 bilion dalam setengah tahun pertama 2019, berbanding RM25.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2018.

Prestasi KDNK dan FDI yang agak baik ini, memberi gambaran bahawa kerajaan baharu ini, mampu segera menangani cabaran mengurus ekonomi negara sejak mengambil alih Putrajaya dan seterusnya berpotensi untuk memacu ekonomi dan pertumbahan dengan lebih baik lagi. Kita menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2020, mencatat sedikit peningkatan ke 4.8% berbanding 4.7% pada tahun 2019 ini.

Keberkesanan pembaharuan institusi yang dilakukan oleh pihak kerajaan, ketelusan, kebebasan institusi, perang terhadap rasuah dan pencapaian negara dalam indeks keamanan dunia yang meningkat, seluruhnya memberi impak positif kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, setahun pertama kerajaan Pakatan Harapan, kita berhadapan dengan kejatuhan harga kelapa sawit yang memberi kesan kepada beratus ribu peneroka dan pekebun-pekebun kecil. Hal ini mengundang kemarahan rakyat kepada kerajaan. Alhamdulillah, sebagaimana yang kita sebutkan dalam konvensyen tahun lepas dan berkat usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan berlakunya perkembangan ekonomi yang memberangsangkan, hari ini harga kelapa sawit tandan segar (BTS) mencecah sekitar RM500 satu tan berbanding sekitar lebih RM300 sepanjang setahun pertama kerajaan Pakatan Harapan. Kenaikan ini adalah yang tertinggi dalam tempoh dua tahun ini dan dijangka berkekalan pada tahun depan.

Lebih terperinci lagi, harga barangan mentah, buat pertama kalinya ketika menyambut hari raya, tidak mengalami kenaikan sebagaimana kebiasannya berlaku hampir setiap tahun. Kita mengharapkan ianya akan berterusan dan memberi kesan kepada kedudukan ekonomi rakyat terutama golongan berpendapatan rendah. Begitu juga dengan kedudukan harga getah dan lain-lain keperluan rakyat sedang diusahakan secara berterusan oleh pihak kerajaan untuk dipertingkatkan. Inilah tanggungjawab kerajaan yang berbeza dengan pembangkang yang berterusan membantah termasuk dikala harga sawit sudah pun tinggi.

Di samping itu, janji kerajaan untuk melaksanakan urus tadbir yang baik dan melaksanakan proses semak imbang telah dilaksanakan antaranya pengekalan ahli parlimen pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Account Committee, PAC). Kerajaan juga melaksanakan janji memberikan royalti minyak kepada semua negeri termasuk negeri pembangkang. Kita juga memberi kebebasan kepada media termasuk yang terbaru dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, kedua-dua pihak iaitu parti kerajaan dan pembangkang dibenarkan berkempen di media massa.

Dari satu segi, umum melihat kita adalah „mangsa kejayaan kita sendiri‟ kerana terlalu terbuka sehingga pembangkang mengambil peluang menghentam dengan teruk. Pun begitu, inilah kelebihan Kerajaan PH yang membuktikan bahawa demokrasi itu matang dan dinamis ketika kerajaan berani berdepan kritikan dan teguran secara terbuka. Hal ini bertepatan dengan iltizam dan janji Pakatan Harapan untuk berlaku adil kepada semua pihak termasuk pembangkang. Ia tidak akan mengulangi kegagalan kerajaan Barisan Nasional untuk membuka ruang media dan demokrasi yang telus kepada seluruh rakyat ketika mereka memerintah dahulu.

Kita memahami bahawa perubahan-perubahan ini belum memadai khususnya bagi rakyat yang menanti selama 60 tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Namun kejayaan-kejayaan yang berlaku dalam tempoh belum sampai dua tahun Pakatan Harapan memerintah, adalah permulaan kejayaan yang sangat besar. AMANAH sebagai komponen Pakatan Harapan akan berterusan memastikan berlakunya peningkatan usaha kerajaan untuk membaik pulih negara dan taraf hidup rakyat dan melaksanakan janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lalu. Amat pelik apabila pembangkang mewawarkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak menunaikan janji pilihan raya dalam keadaan usia kerajaan baru setahun setengah dan telah menunaikan lebih 60 peratus daripada manifesto Pakatan Harapan.

Hadirin dan hadiran yang dihormati sekalian.

AMANAH DAN KOMITMEN REFORMASI PENTADBIRAN

AMANAH diberi tanggungjawab untuk mengemudi lima buah kementerian dan sebuah kerajaan negeri. Tanggungjawab ini dipikul untuk melaksanakan hasrat memperteguhkan kembali keutuhan negara dan menyebarkan kemakmuran buat rakyat. Bagi melaksanakan hasrat ini, di antara fokus awal kita ialah berusaha untuk membersihkan kementerian daripada penyelewengan kerajaan terdahulu dan seterusnya memperolehi kembali wang atau nilaian yang telah diselewengkan. Dalam tempoh setahun ini, sebanyak RM481 juta telah dikutip daripada 96 transaksi tanah yang meragukan sebelum ini di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Begitu juga RM500 juta kerugian akibat Land Swap di kem-kem tentera seluruh negara berjaya dirunding semula setelah ianya disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK). Ada yang menganggap bahawa kita hanya tahu mencari kesalahan kerajaan terdahulu, tetapi dengan siasatan dan tindakan yang kita lakukan telah berjaya mengembalikan wang rakyat dan aset-aset penting milik negara yang hampir-hampir tergadai akibat amalan rasuah yang parah di bawah pentadbiran terdahulu.

Di samping itu, agenda kebajikan rakyat tetap berada pada kedudukan teratas. Dengan hasrat untuk memberi keselesaaan kepada keluarga angkatan tentera yang berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara, di pihak Kementerian Pertahanan kita berjaya meningkatkan hampir tiga kali ganda bajet untuk membaik pulih rumah keluarga anggota tentera. Begitu juga dengan Kementerian Pertanian yang meletakkan objektif menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan petani, penternak dan nelayan serta agroprenuer muda.

Di antara program yang sedang berjalan termasuklah program peningkatan pendapatan melalui penggunaan teknologi baru, peningkatan usahawan tani dan juga penampahan pendapatan melalui industri hiliran. Kerajaan juga telah bertindak untuk memperkasakan kedudukan orang Melayu di pusat bandaraya. Kerajaan melalui Kementerian Wilayah komited untuk bantu orang Melayu memanfaatkan aset hartanah mereka di Kampung Baru yang selama ini terpendam dan tidak dapat dinikmati oleh pemilik dan waris. Pembangunan semula Kampung Baru ini bukan sahaja akan menambahkan berkali ganda jumlah orang Melayu yang tinggal di ibu kota, bahkan ia akan menghasilkan jutawan Melayu dengan aset pelaburan yang bersifat jangka panjang.

Beralih kepada janji-janji di bidang kesihatan dalam Buku Harapan. Kekurangan peruntukan atau dana, bilangan pesakit yang ramai dan kekurangan kakitangan menjadi kekangan bagi hospital-hospital awam. Kerajaan baharu telah menunaikan janjinya dengan memberi peruntukan sebanyak RM28.68 bilion untuk 2019 dan RM30.6 bilion untuk 2020, iaitu naik sebanyak RM1.92 bilion. Kita juga memperuntukkan RM60 juta untuk memulakan program vaksin pneumococcal untuk tahun 2020 yang gagal dilaksanakan oleh Kerajaan BN sebelum ini selain memperkenalkan program Peduli Kesihatan untuk golongan Bawah 40 atau PeKa B40. Dalam 18 bulan kita telah melunaskan 90% dari janji-janji Manifesto dalam kesihatan. Selainnya mesti berterusan memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan.

Melepasi janji-janji Manifesto, KKM juga melancarkan Virtual Clinic di lima buah klinik sebagai projek rintis yang bakal diluaskan ke seluruh negara dan terkini bayaran e-Wallet bagi menangani, antara lainnya masalah masa menunggu, serta ke arah cashless society. KKM juga akan memulakan program perlaksanaan Digital Health secara lebih serius dalam era IR 4.0, dengan antara lainnya, perlaksanaan Electronic Medical Record (EMR) yang akan dimulakan dengan Bajet 2020.

Selain itu, untuk melihat skop yang lebih luas lagi, kita mengemukakan beberapa dasar dan pelan baru perancangan masa hadapan di setiap kementerian bagi dijadikan sebagai garis panduan dan halatuju yang akan mencapai hasrat kestabilan dan kemakmuran bersama pada masa hadapan tercapai. Tiga hari lepas, Kertas Putih Pertahanan (KPP) buat kali pertamanya berjaya dibentangkan di Parlimen. Ia menzahirkan ketelusan kerajaan dalam membuat perancangan pertahanan negara dan bersifat inklusif di mana rakyat turut terlibat mengambil tanggungjawab mempertahankan negara.

Hal ini penting kerana dunia semakin berkembang dengan penemuan teknologi baru yang menyebabkan kita akan ketinggalan jika masih berada di landasan yang lama. Di Kementerian Wilayah Persekutuan, diwujudkan Majlis Menteri melibatkan 11 Ahli Parlimen dan Majlis Perwakilan Penduduk yang menjadi medan perkongsian idea, memainkan peranan bersama dan seterusnya menjadi jambatan dan suara warga Kuala Lumpur kepada pihak kerajaan. Di peringkat Kementerian Pertanian, kerajaan mengemukakan halatuju untuk memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam sub-sektor padi, ruminan dan perikanan.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

ISLAM DI BAWAH PEMERINTAHAN MALAYSIA BAHARU

AMANAH kekal dengan asas perjuangannya untuk melaksanakan Islam Rahmatan Lil A‟lamin. Satu praktis agama yang akan memberi kebaikan kepada seluruh manusia dan makhluk di atas bumi ini tanpa membezakan siapa mereka. Di awal pentadbiran Malaysia baharu, YAB Perdana Menteri telah menegaskan bahawa pentadbiran di bawah kerajaan baharu selepas PRU14 adalah pentadbiran berlandaskan ajaran Al-Quran dan Hadis yang sahih. Demikianlah yang ditegaskan oleh YAB Tun Mahathir sejak 31 Julai 2018 dalam sesi pertemuan dengan para ulama dan cendikiawan Islam kali pertama beliau menjadi Perdana Menteri ke-7.

Rentetan daripada itu, kita berusaha untuk menjadikan Rahmatal Lil A‟lamin sebagai dasar kerajaan yang akan dipraktikkan dalam semua kementerian dan agensi kerajaan serta diperturunkan kepada rakyat keseluruhannya, agar suatu hari nanti akan muncullah di negara kita ini generasi yang benar-benar bertaqwa, maju, boleh hidup dengan baik dalam kepelbagaian masyarakat dan rakyat keseluruhannya merasai nikmat agama yang adil ini. Alhamdulillah, setelah melalui beberapa fasa kelulusan pentadbiran agama termasuk Majlis Raja-Raja, maka Jemaah Menteri telah meluluskan Rahmatal Lil A‟lamin sebagai dasar kerajaan Malaysia. Kini masanya untuk sama-sama kita membantu menyebar luas dasar ini bagi difahami dan dipraktikkan dalam masyarakat.

Menyedari hakikat perlunya lahir generasi Al-Quran, yang benar-benar faham dan mendalami ilmu Al-Quran, pihak kerajaan telah berusaha memperkasakan institusi tahfiz. Bukan sekadar memberikan peruntukan kewangan kepada institusi ini, kerajaan juga telah meminda Akta 505, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) bagi memasukkan institusi tahfiz didaftarkan dan dikawal oleh Majlis Agama Islam. Ia penting bagi memastikan kebajikan pelajar-pelajar tahfiz terpelihara dan tidak boleh dimanipulasikan oleh mana-mana pihak. Pematuhan terhadap pendaftaran, undang-undang dan prosedur yang dibuat ini akan menyebabkan pentadbiran institusi tahfiz akan lebih efisyen dan seterusnya memberi kesan yang positif terhadap prestasi pelajar.

Selain pindaan akta berkaitan pendaftaran tahfiz ini, kerajaan juga telah mewujudkan akta baru iaitu Akta Profesyen Guaman Syarie 2019 sebagai akta kawalan bagi penerimaan masuk peguam syarie. Setelah 30 tahun hasrat untuk menggubal akta ini terperap di bawah pemerintahan yang lalu, ia berjaya diluluskan di parlimen pada tahun ini yang antara lainnya untuk memelihara professionalisme guaman syarie. Di samping itu, satu rang undang-undang berkaitan pentadbiran harta wakaf akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi. Ia adalah akta yang pertama seumpanya di Malaysia yang bertujuan untuk mentadbir harta wakaf umat Islam di Malaysia yang nilainya berbilion ringgit. Kita memahami bagaimana institusi wakaf amat penting dalam pembangunan masyarakat sebagaimana yang berlaku pada zaman keemasan yang lalu.

Tabung Haji (TH) adalah lambang kemegahan ekonomi umat Islam Malaysia untuk menguruskan wang bagi mengerjakan ibadat haji. Namun, apabila kita mengambil alih pentadbiran kerajaan, kita mendapati TH telah mengalami defisit dan menyalahi Akta Tabung Haji kerana membayar hibah kepada pendeposit dalam keadaan aset yang dimiliki kurang daripada liabiliti. Hal ini telah berlaku selama empat tahun berturut-turut. Kejayaaan besar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan ialah meletakkan kembali pengurusan Tabung Haji (TH) ke landasan yang betul.

Perkara pertama yang dilakukan ialah menukar kumpulan pengurusan TH dengan pasukan pengurusan baru. Aset-aset rendah nilai TH dipindahkan kepada syarikat bertujuan khas atau SPV. Aset rendah nilai TH yang keseluruhannya bernilai pasaran semasa RM10 bilion telah diserahkan kepada SPV dengan nilai TM19.9 bilion. Dengan langkah ini, TH dapat membuat bayaran hibah kepada pendeposit secara patuh akta. Walaupun dengan hibah 1.25% sahaja untuk tahun 2018, namun ia mematuhi akta dan tidak memanipulasi duit pendepositor yang besar-besar. Kini, TH telah duduk di landasan yang benar dan menjana keuntungan semula.

Usaha memartabatkan Islam ini tidak terhenti di situ sahaja, tetapi sentiasa diusahakan khususnya penyelarasan pelbagai enakmen pentadbiran Islam negeri-negeri yang berbeza di antara satu sama lain dan pelbagai usaha yang lain lagi. AMANAH juga berpegang teguh dengan nilai agama yang tidak hanya terkurung dalam institusi agama sebagaimana kebiasaannya sahaja, tetapi nilai agama yang menyeluruh melibatkan keseluruhan pentadbiran negara. Ia termasuklah perjuangan untuk membebaskan negara daripada rasuah, layanan yang adil kepada seluruh masyarakat dan pembinaan modal insan yang berterusan yang akan memacu kemajuan negara. Ia juga sebahagian daripada nilai Islam.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

HUBUNGAN ANTARABANGSA

Dunia hari ini memperakui, bahawa kuasa unipolar Amerika Syarikat dan sekutunya negara-negara Barat telah pun dicabar oleh China dan negara-negara di Timur. Kemunculan China sebagai kuasa besar baru ekonomi dan ketenteraan menyebabkan persaingan semakin unik. Amerika Syarikat yang berdekad menjadi kuasa besar dunia, tercabar dengan kemunculan tersebut. Ia mengulangi sejarah dunia sejak daripada zaman Nabi Adam A.S. Munculnya Namrud yang sangat berkuasa, bertukar ganti dengan kerajaan Firaun, kerajaan Rom dan kemunculan Islam di zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman sahabat, dan berakhir dengan kerajaan Uthmaniah. Lalu munculnya kuasa Barat pada hari ini di atas kejatuhan kerajaan Islam. Kuasa Barat itu pada hari ini berhadapan suasana sangat mencabar iaitu kemunculan kuasa baru di Timur dan perpecahan dalaman sesama mereka. Daripada Brexit di United Kingdom, usaha memisahkan Katalan di Sepanyol dan beberapa ledakan pemisahan wilayah di Barat memberi gambaran ketidakstabilan negara-negara Eropah tersebut yang sebelumnya menjadi penjajah kepada Asia dan Afrika. Kesemua kuasa- kuasa besar dunia akan sampai ke saat kejatuhannya dan akan bertukar kepada kuasa yang lain.

Persoalannya di sebalik kemunculan kuasa baru dunia ini, di mana letaknya negara-negara umat Islam? Kita menyedari bahawa Timur Tengah masih lagi menjadi rantau paling bergolak di dunia. Peperangan semakin berleluasa di negara-negara Arab yang bidak caturnya bukan hanya kuasa- kuasa besar, tetapi juga dikalangan negara-negara umat Islam sendiri yang berkepentingan. Kegilaan untuk berlumba kuasa dan mengaut kekayaan menyebabkan bukan sekadar mereka membiarkan Palestin yang dijajah, tetapi sanggup mencetuskan peperangan di negara-negara jiran mereka. Agama dijadikan benteng terhadap tindakan kejam mereka, walhal dalam masa yang sama mereka mengkayakan kuasa-kuasa besar dengan pembelian senjata yang bernilai ratusan billion dolar.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa negara umat Islam pada hari ini bukan sekadar kaya dengan sumber mineral dan hasil bumi, tetapi juga mempunyai sejumlah besar modal insan mahir dan pakar dalam pelbagai bidang. Ramai saintis, pakar-pakar IT, ahli ekonomi dan jurutera pelbagai bidang lahir dari Pakistan dan Bangladesh. Mereka ini kebanyakannya berkhidmat di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan negara-negara Eropah. Ini kerana keadaan dan kewangan negara mereka tidak membantu mereka untuk berkhidmat di sana. Dengan jumlah pemegang PhD, profesor dan intelektual pelbagai bidang daripada dua negara ini, sepatutnya universiti terbesar di dunia terletak di negara tersebut. Tetapi ianya tidak berlaku apabila negara-negara umat Islam yang kaya tidak berminat untuk melaburkan dalam pelaburan ilmu dan inovasi ini berbanding dengan menghabiskan wang membeli senjata dari negara-negara Barat.

Mengambil peluang terhadap kelompongan dan kelebihan tersebutlah, maka kerajaan Malaysia Baharu menjalinkan hubungan akrab sesama- negara Islam tersebut dan merangka kerjasama pelbagai bidang untuk dipertingkatkan bersama. Sebagaimana yang kita sebutkan di dalam konvensyen yang lepas, bahwa kerajaan berhasrat untuk menjalinkan kerjasama erat pelbagai bidang dengan negara-negara Islam progresif, maka pada hari ini kerajaan Malaysia, bersama dengan Turki dan Pakistan telah memulakan gerak kerja awal untuk mewujudkan saluran televisyen khas bagi menjawab tohmahan dan Islamophobia yang diwujudkan di dunia pada hari ini. Kita menyedari, media adalah medium yang sangat berkesan dan berkuasa membentuk persepsi dan minda masyarakat dan ia menjadi keutamaan ketiga-tiga negara ketika ini. Ia adalah langkah awal sebelum meneruskan dengan kerjasama-kerjasama lain ke arah membangunkan negara umat Islam yang maju, moden, berdaya saing, aman, meraikan kepelbagaian agama dan kaum serta tidak berhasrat untuk bermusuh dengan mana-mana negara.

Hadirin dan hadirat sekalian

CABARAN PERKEMBANGAN MALAYSIA BAHARU

Kemenangan yang kita perolehi dalam PRU14 telah meletakkan diri kita pada satu kedudukan yang sangat kritikal dan penting. Sedari awal penubuhan AMANAH, sejarahnya telah membuktikan bahawa AMANAH adalah pemangkin utama kemunculan gerakan Harapan Baru dan seterusnya pembentukan Pakatan Harapan hanya seminggu selepas penubuhan AMANAH serta pembentukan kerajaan Malaysia Baharu. Sifat dan pendekatan AMANAH yang berasaskan maqasid syariah nyata mampu menjadikan AMANAH sebagai ‘raison d’etre’ (sebab kewujudan) kepada PH. Kedudukan inilah yang membuka ruang untuk AMANAH berperanan sebagai parti politik yang progresif, pelaksana kata dan pemakmur bumi Allah SWT.

Namun di sebalik kemampuan dan peranan kita sebagai parti kerajaan, kita jangan terjebak dengan jerangkap kemenangan. Kemenangan PRU lepas bukanlah kemuncak perjalanan hidup kita. Keghairahan kedudukan yang ada jangan menyebabkan diri terjerumus ke lubuk persaingan yang tidak sihat seperti cah keting, tikam belakang, cai dan sebagainya. Cukuplah sejarah kerosakan negara yang berlaku akibat kepimpinan yang rasuah, birokrat jahat, cerdik pandai membisu, ulama pedagang agama, rakyat jahil dan anak muda hilang keberanian.

Kita juga berhadapan dengan pertembungan di antara dua kelompok iaitu kutub naratif „Melayu terancam‟ dan „kebebasan demokrasi‟. Antara cabaran terbesar yang kita hadapi pada hari ini adalah pertembungan dua kelompok ini yang boleh menjerumus tanah air berada ketidaktentuan. Kelompok ultra etno-nasionalis menjaja naratif Melayu terancam dan kelompok hiper-liberal pula membawa idea yang menghapus elemen tradisi yang menjadi nilai teras dalam pembinaan semula negara. Ingat! Sesiapa yang menyemai angin, bakal menuai badai!

Naratif Melayu terancam dibina oleh kelompok politikus yang gagal. Kelompok ini membina perspektif dan naratif ancaman dan keresahan orang Melayu demi undi. Mereka mahu orang Melayu sentiasa diburu bayang keresahan dan mengejar bayang yang tidak pasti. Naratif Melayu terancam hanya akan menambahkan kegagalan pembinaan negara bangsa sejak awal kemerdekaan. Isu agama, bahasa, himpunan anti ICERD, statut Rom dan sebagainya adalah lanjutan keresahan Melayu yang sudah lama. Ia diperbaharui oleh aktor-aktor yang silih berganti demi survival politik golongan politikus gagal. Mereka yang menggunakan pendekatan ultra ethno-nasionalisme atau ketuanan bangsa, akan menghakis teras kebangsaan. Kegagalan ini juga berpunca oleh sikap sebahagian masyarakat yang tidak memahami falsafah dan proses pembinaan negara Malaysia terbentuk.

Manakala di satu pihak lain, mereka menggunakan liberalisme demokrasi sebagai topeng menghakis jati diri kebangsaan yang diasaskan sejak merdeka. Bercakap atas nama kebebasan dan keadilan tetapi untuk maksud keuntungan kelompoknya sahaja. Keadaan ini seperti juga kewujudan kelompok yang menggunakan agama, kaum, wilayah dan apa jua hal yang memiliki pasaran serta habuan politik yang lumayan. Akar keresahan dan krisis ini bertitik tolak dengan wujudnya perasaan others ataupun asing di kalangan masyarakat. Dikotomi yang berasaskan perbezaan etnik, wilayah dan diperkembangkan dengan unsur politik yang keterlaluan hanya merosakkan kemakmuran hidup bernegara.

Pembentukan negara bangsa Malaysia lebih berasaskan perkongsian aspirasi dan nilai yang sama. Ini yang menjadikan Malaysia sebuah citra politik negara bangsa yang unik. Inilah budaya hidup bermasyarakat yang perlu kita semai. Secara politiknya, negara dibentuk dengan gabungan beberapa teras utama; wilayah, kerakyatan, pemerintahan, perundangan dan kedaulatan. Semua teras yang membentuk persetujuan pelbagai pihak telah mewujudkan sebuah negara merdeka. Inilah yang disebutkan sebagai kontrak sosial. Sistem pemerintahan kita adalah berasaskan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Jati diri kebangsaan kita adalah keselarasan antara tradisi dengan moden. atau dalam bahasa disiplin sains politik jalur neo-conservatives. Menyelami permasalahan masyarakat negara bangsa, kita perlu mengimbangi warisan sejarah dengan pandangan masa hadapan. Perjalanan kehidupan bernegara sentiasa berhadapan idea- idea baru yang memperkukuhkan dan juga melemahkan struktur dan jati diri negara.

Oleh itu budaya bertolak ansur dan saling faham memahami perbezaan antara etnik dan wilayah perlu disuburkan terutamanya dalam menangani kepentingan dan tuntutan yang saling bersilang. AMANAH sebagai parti amat selesa dengan cabaran ini, bahkan seluruh legitimasi kewujudan AMANAH adalah berpaksikan cabaran untuk mendamaikan konflik dan tuntutan yang saling bersilang ini. Ini wajar dibezakan dengan pendekatan politik populis yang tidak lagi punya prinsip dan hilang arah perjuangan. Teras pembinaan dan kelestarian negara harus dibudayakan. Aspek kebudayaan kurang diambil kira walaupun ia menjadi salah satu asas pembentukan Perlembagaan. Latar belakang dan falsafah pembentukan Perlembagaan jarang difahami. Oleh itu, sebarang perubahan dalam negara jangan sampai akar budaya bangsa itu tercabut.

Tekad budaya itu mesti ada. Sama ada pemimpin, cendiakawan, birokrat, peniaga dan kelompok Melayu berpengaruh masih gagal menjadi bangsa penakrif kepada rupa bentuk kebangsaan. Kegagalan ini berpunca tekad politik dikuasai oleh kelompok oportunis. Manakala kelompok lain, sekadar menjadi tukang sokong atau penumpang.

Oleh itu, saya mengharapkan agar AMANAH mampu menjadi parti yang memberi makna sebenar kehidupan bersama, sejahtera dan makmur. Kemerdekaan tanah air telah membentuk sebuah konsep negara bangsa yang berkongsi impian, nilai dan menumpukan kesetiaan kepada raja dan negara. Politik perkauman dan kebebasan demokrasi yang eksterim akan membakar impian hidup bersama dalam masyarakat majmuk. Rasa curiga, cemburu, dengki akan mengisi kehidupan. Nikmat hidup bersama akan hilang.

Sasterawan Negara, A. Samad Said dalam sajaknya yang bertajuk “Hidup Bersama‟ berpuisi:

Tanah Air Akan Indah, Megah Dan Bermaruah, Jika Kita Sentiasa Mensyukuri Anugerah Allah; Dan Bumi Akan Subur, Makmur Dan Mewah, Jika Kita Bekerja Dan Berikrar Hidup Bersama.

Perubahan yang drastik, merentasi batas budaya, agama, geografi perlu ditangani dengan bijak tetapi tegas. Maju ke hadapan tetapi tidak bermakna meminggirkan persoalan asas dan tradisi yang telah sedia ada. Sejarah pembinaan negara bangsa kita harus diperkukuhkan dengan tekad bangsa merdeka. Bangsa yang penuh sikap toleransi, menghargai potensi dan tahu bersyukur. Unsur-unsur inilah yang membina negara bangsa merdeka dan Malaysia.

Hadirin dan hadirat sekalian.

TEKAD AMANAH MEMBANGUNKAN NEGARA MEMARTABATKAN RAKYAT

Setelah lebih empat tahun AMANAH dalam persada politik tanah air dan untuk memastikan kita terus kekal relevan, maka beberapa perkara perlu diberi perhatian. Pertamanya AMANAH perlu bergerak di atas landasan agama selaras dengan dasar parti dan juga kedudukannya dalam perlembagaan persekutuan. Ia menjadi asas kepada perjuangan untuk membawa Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam. Ia bukan sekadar perlu diamalkan agar menjadi jati diri dan pegangan seluruh ahli-ahli AMANAH, tetapi juga sebagai halatuju untuk dibina dalam masyarakat. Penggunaan Fiqh Kontemporari dalam kerangka besar Maqasid Syariah serta memghitung realiti setempat untuk mengaplikasikan konsep Rahmatan Lil A’lamin sebagai uslub siasah dan dakwah AMANAH.

Sebagaimana diawal dahulu AMANAH mempelopori muafakat politik sehingga mewujudkan pakatan politik Pakatan Harapan dan menjayakan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya dan pembentukan kerajaan, maka pada hari ini AMANAH akan memainkan peranan mengukuhkan kesepakatan politik Pakatan Harapan. Kita menyedari kelompok yang tewas dalam pilihan raya sentiasa berusaha untuk merobek kesatuan Pakatan Harapan dan kita tidak akan benarkan ia berlaku. AMANAH bertekad untuk kekal dengan persefahaman politik dalam Pakatan Harapan yang ianya mendapat mandat daripada majoriti rakyat Malaysia yang tidak boleh disia-siakan.

Menyedari kehendak rakyat yang mengharapkan perubahan berlaku dalam negara setelah lebih 60 tahun diperintah oleh Barisan Nasional, maka pada hari ini AMANAH menyatakan tekad kita untuk bersama-sama dengan kerajaan Pakatan Harapan berusaha semaksima mungkin untuk melaksanakan janji-janji dalam pilihan raya. Ia suatu kemestian untuk dilaksanakan walaupun kita berhadapan pelbagai kekangan untuk membaik pulih kerosakan yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

Pada hari ini, mengambil makna negara ini perlu dibina dengan penuh kekuatan dan kesaksamaan, maka bagi menegakkan demokrasi dan meraikan kepelbagaian dan kebolehan bakat serta potensi rakyat Malaysia, maka AMANAH akan berusaha untuk mempengaruhi kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi dihadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja. Ia sesuatu yang sekian lama kita perjuangkan bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kekuasaan yang berlebihan di sesuatu pihak dan memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Tahniah kepada kerajaan Melaka yang telah memulakan pindaan undang undang tubuh negeri yang menghadkan Ketua Menteri hanya dua penggal.

PENGUKUHAN ORGANISASI

Seperkara yang sangat penting pada hari ini adalah pengukuhan organisasi. Transformasi dari sebuah parti pembangkang kepada parti kerajaan adalah garis penting bagi mengukuhkan AMANAH sebagai sebuah parti yang mempunyai daya juang yang kental. Memiliki saf kepimpinan yang kompeten, wibawa, kreatif dan berintegriti adalah faktor utama dalam pengukuhan organisasi. Pemimpin bergerak atas semangat pasukan. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Berkemampuan membuat keputusan yang tepat. Bercakap dengan mata, memandang dengan hati. Kepimpinan yang berwibawa tidak lahir dari sekadar sesuatu peristiwa tetapi ia lahir dari siri kesinambungan pengorbanan.

Keduanya kita juga memerlukan pengikut dan ahli yang berkualiti, kuat bekerja, berfikiran mandiri, mendokong keputusan bersama, bertata susila apabila menegur pemimpin. Ketiganya, pengukuhan parti kita dapat dilakukan melalui struktural dan sifat AMANAH itu sendiri yang dinamik. Oleh itu, pembinaan sahsiah dan tasawur Islam di kalangan ahli perlu disuburkan kembali melalui sistem tarbiah yang lebih dinamis dan responsif. Sistem tarbiah keahlian perlu diperkemaskan untuk memantapkan jalan perjuangan.

Kita mengalu-alukan kehadiran ahli baru. Maka projek perkaderan ahli baru terutama anak muda dan mahasiswa harus diberi penekanan. Fokus bukan sekadar kepada ahli baru tetapi kepada seluruh lapisan kepimpinan dalam parti. Tanpa ilmu kemahiran, ketrampilan serta program perkaderan, sebuah parti politik itu tidak akan bertahan lama. Perkaderan adalah proses membentuk pemikiran dan sahsiah pengikut, aktivis dan pemimpin.

Oleh itu, satu standard kepada ahli amatlah perlu untuk mereka terus komited mendukung falsafah, visi dan misi parti AMANAH. AMANAH telah menginstitusikan Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah atau NUNJI sebagai entiti dalam parti untuk menggerakkan program kaderisasi secara teratur. Dalam masa sama, kita juga wajar fokuskan program seperti tanweer, usrah, wacana, kajian buku dan Kalam (Kursus Asas Keahlian AMANAH) secara berterusan. Peranan Majlis Penasihat Pakar AMANAH perlulah diperkasakan bagi mengukuhkan identiti dan organisasi parti terutama dalam menghadapi cabaran sebagai parti Islam. Majlis ini merupakan sub organ yang penting.

Wanita adalah kelompok besar dalam negara kita. Pemerkasaan kepada kelompok wanita ini sangat penting bukan sekadar menarik mereka untuk mengundi kita, tetapi menjadi satu kelompok yang berperanan besar dalam memperkukuhkan institusi negara bermula daripada institusi keluarga. Jika pincang dari awal, maka pincanglah negara keseluruhannya. Maka, Angkatan Wanita Amanah (AWAN) mempunyai tanggungjawab besar dalam memperkukuhkan institusi tersebut sehinggalah ke peringkat negara yang pada hari ini telah memperlihatkan bahawa wanita telah mengambil tempat-tempat yang strategik dalam pentadbiran negara.

Tidak lama lagi, pengundi-pengundi muda berusia 18 tahun akan mula menjadi pengundi dalam negara kita. Ia sesuatu yang perlu disambut secara positif kerana lambat laun negara Malaysia akan menjadi negara muda yang penuh dengan tabungan dan pelaburan. Berbanding kebanyakan negara yang menuju negara tua akibat penurunan populasi dan hak membuat keputusan dikalangan anak muda, menyebabkan negara tersebut dipenuhi golongan pembelanja berbanding penabung. Maka cabaran ini mesti disambut oleh organisasi muda dalam AMANAH sama ada Pemuda AMANAH dan juga Wanita Muda AMANAH (WARDA). Kedua-dua kelompok perlu bergerak aktif menarik seramai mungkin anak muda kepada AMANAH dan memberikan pendidikan politik kepada mereka agar kelompok baru pengundi ini bukan sahaja majoritinya mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya, tetapi menjadi kelompok yang berkualiti tinggi dan berdaya maju dalam menyumbang kepada perkembangan negara.

Saudara/ Saudari Perwakilan dan Pemerhati sekalian,

KONVENSYEN YANG BERMAKNA

Hari ini kita akan memulakan persidangan tahunan utama bagi parti kita untuk kali ke-4 dalam umur Parti Amanah Negara. Usia parti yang muda tetapi tanggungjawab dalam pemerintahan yang sangat besar. Saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli-ahli dan pemimpin AMANAH di peringakat negeri dan kawasan yang memberikan teguran dan nasihat terutamanya selepas AMANAH memikul tanggungjawab sebagai kerajaan.

Pada hari ini juga kita akan mengadakan pemilihan kepimpinan nasional buat kali pertama setelah penubuhan AMANAH. Maka jadikanlah proses pemilihan ini sebagai proses demokrasi terbaik dalam memilih kepimpinan parti yang kelak akan membawa parti ini ke masa hadapan.

Saya mengajak seluruh kepimpinan dan ahli-ahli, AWAN dan Pemuda juga WARDA untuk sama-sama memberikan komitmen sepenuhnya untuk terus meningkatkan keupayaan AMANAH sebagai parti yang mampu mengangkat negara dan membela rakyat dengan keindahan dan kecantikan yang ditawarkan oleh Islam.

Kita semua yang berada di dalam AMANAH bertanggungjawab untuk menterjemahkan Islam yang mengutamakan keilmuan dan kemajuan, Islam yang telus dan terbuka dan Islam yang mengutamakan kedamaian dan bukan peperangan. Semoga dengan kerjasama dan iltizam semua pihak, kita akan berjaya membina kembali negara kita yang bukan sekadar kukuh ekonomi, politik dan sosialnya, tetapi menjadi negara dan rantau yang akan dicontohi oleh masyarakat dunia, disebabkan oleh kemakmuran, kemajuan dan keamanan yang kita kecapi bersama di negara dan rantau ASEAN yang pelbagai kaum ini.

Saya mengalu-alukan kehadiran seluruh Perwakilan dan Pemerhati ke Konvesyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara dan mengharapkan semua kepimpinan dan ahli AMANAH bertekad dan beriltizam bagi membawa AMANAH ke tahap seterusnya dengan tanggungjawab membina Malaysia Baharu. Selamat berkonvensyen, berbahas dan mengemukakan pandangan.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalaamu alaikum warahmatuli wabarakaatuh.