Malaysia Dateline

Kestabilan Kerajaan Perpaduan penting tarik keyakinan pelabur

Negara dilihat mempunyai peluang untuk melaksanakan pembangunan ekonomi dengan lebih cepat dan berkesan dalam tempoh yang lebih singkat sekiranya wujud kestabilan politik.

Bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, asas ekonomi dan kestabilan politik Malaysia menjadi pertimbangan utama untuk pelabur asing melabur di negara ini.

“Mana-mana negara, soal kestabilan (politik) adalah kunci utama untuk meyakinkan pelabur masuk.

“Ia antara faktor asas dalam memastikan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini sekurang-kurangnya untuk tempoh sederhana,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Anwar memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen selepas usul undi percaya terhadapnya lulus menerusi undian suara

Tambahnya, negara dijangka akan menghadapi prospek ekonomi yang lebih mencabar pada tahun hadapan maka faktor pelaburan adalah sangat penting bagi merangsang momentum pertumbuhan seterusnya.

Jelasnya, dengan adanya pelaburan luar yang datang melabur di negara ini akan dapat menampung sedikit kesan kegawatan jika berlaku dan seterusnya banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan setelah negara mendepani wabak Covid-19.

Semalam, Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ketika mengulas sikap pembangkang yang sering mempertikaikan ketokohan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Amin berkata Perikatan Nasional (PN) seharusnya menjadi pembangkang yang berkesan dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang.

“Pembangkang boleh buat semak dan imbang dengan melihat ruang-ruang untuk menonjolkan idea yang lebih praktikal selain daripada melihat dasar kerajaan supaya dapat ditambah baik atau dikritik sekiranya dirasakan tidak sesuai.

“Tetapi apabila kita lihat perbahasan pembangkang semalam tumpuan lebih kepada isu jawatan dan peribadi berbanding hala tuju negara. Pembangkang perlu perkemaskan strategi” tambahnya lagi.