Malaysia Dateline

Ketaatan membuta tuli tidak membawa apa-apa erti

Ketaatan secara membuta tuli tidak membawa apa-apa erti, apatah lagi mempersoalkan kewibawaan seseorang yang sedang menentang satu sistem secara bersendirian.

Sehubungan itu adalah dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya mempersoal etika dan prinsip seseorang hanya kerana ingin menunjukkan ketaatan kepada individu lain.

Demikian kenyataan Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, G.Manivanan mengulas mengenai wawancara Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah bersama Straits Times, Singapura yang hangat diperkatakan kini.

Menurut Manivanan lagi, sejarah telah membuktikan Nurul Izzah telah terjun ke dunia politik hanya kerana kezaliman dan kekejaman yang berlaku kepada keluarganya.

Malah kataya, sejak 1998 lagi, Nurul Izzah tidak pernah melalui kehidupan seorang insan yang biasa, sebaliknya telah mengharungi dunia politik dengan penuh penderitaan dan penghinaan tanpa perikemanusiaan.

“Walaupun beliau mampu untuk memilih jalan yang senang selepas pilihan raya umum ke 14, tetapi ia menemui jalan buntu hanya bagi menegakkan keadilan.

“Atas nama keadilan jugalah beliau memulakan karier politik dengan penuh penderitaan serta melakukan satu demi satu kejutan termasuklah memilih jalan menentang arus.

“Secara jelas ia memperlihatkan keberaniannya untuk menyoal siapa sahaja semata-mata bagi menegakkan keadilan, ” tegas Manivanan lagi.

Beliau juga berkata, apa yang ditunjukkan oleh Nurul Izzah membuktikan ia seorang ahli politik yang beretika dan seorang yang berprinsip.

“Saya dan juga masyarakat yang mempunyai etika serta prinsip akan menyokong seni politik beliau kerana bercakap benar dan bukannya lakonan.

“Ia berani untuk mengambil keputusan meskipun tidak disenangi oleh segelintir pihak.

“Disamping itu beliau turut berani untuk menegakkan keadilan walaupun dalam suasana yang getir, ” ujarnya.

Manivanan yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan Parlimen Bagan Datuk turut berkata, ahli poltik wajar berani kerana benar dan jangan duduk mengecut dalam kamar penghawa dingin serta mempersoalkan mengenai etika dan prinsip politik orang lain.

Tambah beliau lagi, walau apa pun yang diluahkan, sebenarnya apa yang ditanggung oleh Nurul Izzah umpama pepatah Melayu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.