Malaysia Dateline

Ketahui apa itu saponin, ini lima langkah mudah masak air soya

Sejak pandai buat air soya sendiri, saya dah tak beli air soya. Boleh sesuaikan rasa manis dan aroma pandan.

Setiap kali buat air soya, saya akan buang buih-buih mengikut resepi. Saya berandaian jika tak buang, rasanya akan pahit.

Tahukah anda buih pada air soya itu disebabkan oleh kehadiran saponin?

Saponin adalah sejenis sebatian kimia semulajadi yang banyak dalam soya. Saponin adalah sebatian kimia triterpene dengan struktur menyamai steroid, dan terikat dengan beberapa unit gula. Dalam bahasa sains kita panggil steroidal glycosides.

Saponin diterbitkan dari perkataan latin ‘sapon’ yang bermaksud sabun. Ini kerana saponin akan menghasilkan buih bila digoncang dalam air.

Dalam soya mentah, dianggarkan terdapat 2-5g saponin dalam 100g soya. Antara saponin yang banyak dalam soya adalah aescin. Aescin juga diekstrak dan merupakan ubat untuk merawat keradangan.

Saya biasa dapat ubat preskripsi aescin (reparil) atau ekstrak soya untuk masalah lutut dan patah jari tempoh hari.

Selain saponin, soya juga kaya dengan isoflavone contohnya genistein. Ia mempunyai struktur kimia terbitan phenylpropanoid C6-C3-C6. Isoflavone adalah sejenis phytoestrogens kerana struktur kimianya seakan-akan estrogen.

Dalam soya terdapat sekitar 5.6-276mg genistein dalam setiap 100g soya.

Biasa kita buang buih-buih ini. Sebab rasanya pahit. Begitu juga rasa pahit pada peria, juga disebabkan saponin, dan juga alkaloid.

Kita semua adalah bahan kimia.

Cara memasak air soya:

1. Rendam biji Glycine max (Soya) dalam dihydrogen monoxide (air) selama sekurang-kurangnya 4-5 jam.

2. Buang kulit, kisar dengan dihydrogen monoxide.

3. Tapis dan masak dengan beberapa helai Pandanus amaryllifolius (daun pandan) dan beberapa sudu sukrosa (gula).

4. Buang saponin (buih).

5. Setelah mendidih sesuai dihidangkan pada suhu suam atau sejuk. Rasa manis sukrosa dan aroma 2-acetyl-1-pyrolline dari Pandanus amaryllifolius.

Baca juga Ahli kimia ini kongsi kaedah terbaik cuci buah, sayur dari racun