Malaysia Dateline

Ketahui tentang Big Data, bagaimana pencuri pun boleh ‘didewakan’

Melalui penggunaan pakar analisa ‘Big Data’ yang boleh mengenalpasti sifat dan minat individu, ianya sememangnya berbaloi digunakan bagi mereka yang berduit dan mempunyai kepentingan sendiri.

Melalui cara tersebut, pencuri juga boleh menjadi hero yang didewa-dewakan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memetik kenyataan yang dimuatnaik melalui portal Chedet, pakar analisa boleh mengetahui sifat disukai dan tidak disukai seseorang melalui pengumpulan data yang menyeluruh berkenaan individu dalam sesebuah kumpulan masyarakat.

“Big data berguna dalam bidang politik di mana analisa big data oleh pakar mampu mengenalpasti apa yang menguasai pemikiran pengundi umpamanya.

“Dengan pengetahuan ini, maka kempen boleh diadakan supaya pengundi terpikat dan menyokong.

“Di masa lampau ini kita sering lihat calon yang buruk mendapat sokongan dan kemenangan. Kempen yang diasaskan kepada kajian big data boleh menjadikan seorang penyangak dimuliakan dan disokong.

“Orang ramai boleh lupakan keburukan seseorang dan menjadinya hero yang didewa-dewakan,” katanya.

Tun Mahathir turut menekankan soal ‘pukau’ yang menjadi bicara orang Melayu satu ketika dahulu, di mana ia menggambarkan seseorang tanpa segan silu melakukan sesuatu yang bukan normal dek terpengaruh kuasa yang tidak dikenali.

Di zaman itu katanya, pukau dilakukan dengan mengetahui sifat-sifat yang ada pada seseorang atau sesuatu kumpulan sehingga mereka bertindak melakukan perbuatan yang luar biasa.

Beliau mengibaratkan pukau di zaman dahulu dengan pukau moden ketika ini yang lebih berasaskan kepada sains dan psikologi.

Melalui maklumat terperinci dan menyeluruh (big data), sifat seseorang atau sesuatu kumpulan boleh didapati dari segala makanan kegemaran, membeli-belah, jenis hiburan, sukan, pelancongan dan lain-lain.

“Data yang didapati boleh dianalisa dengan komputer dan peribadi ditentukan. Dari data ini, strategi boleh dibentuk untuk mencapai matlamat.

“Kos oleh pakar analisa tetap tinggi. Hanya mereka yang kaya raya sahaja yang boleh upah,” ujarnya.