Malaysia Dateline

Ketatkan SOP, bukan tutup Bazar Ramadan, cadang Pulau Pinang

Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membantu penganjur Bazar Ramadan memperketatkan SOP dan bukannya menutup pasar tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, arahan penutupan Bazar Ramadan menyukarkan peniaga dan orang ramai.

“Adalah dicadangkan supaya Bazar Ramadan tersebut dibenarkan beroperasi dengan memperketatkan SOP dan memberi kerjasama dengan pihak penganjur bazar tersebut bagi membantu peniaga dan penjaja mematuhi SOP yang diperketatkan atau SOP yang diperlukan.

“Kita mengakui usaha-usaha yang dilaksanakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 diperlukan kerana peningkatan kes-kes positif. Namun begitu, perlu dipertimbangkan juga nasib peniaga, penjaja dan peruncit dimana mereka perlu dibenarkan berniaga kerana ia merupakan punca pendapatan utama sebahagian besar mereka.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dua kali dilaksanakan dan punca pendapatan golongan peniaga, penjaja dan peruncit ternyata turut terjejas dan mereka perlu diberi dokongan,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mengarahkan agar 22 bazar Ramadhan ditutup baru-baru ini.

Ia melibatkan 22 lokasi di sekitar negeri Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu katanya, lapan lokasi adalah melibatkan Bazar Ramadan di Pulau Pinang.