Ketawa Cameron bersambung di Semenyih?

Ketawa Cameron bersambung di Semenyih?

Gegak gempita ketawa dari bilik gerakan BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih mengakhiri mesyuarat Pemuda Umno-Pas buat julung kalinya pada petang 10 Februari lalu.

Suara dari bilik mesyuarat itu mengejutkan saya dan pemberita lain yang menantikan sidang media. Sepatutnya berlangsung kira-kira 45 minit sebelum itu. Tentunya banyak agenda yang dibincangkan.

Namun, penantian tersebut tidak dirasakan lama dalam keadaan ruang menunggu yang berhawa dingin selain dihidangkan juadah agak mewah daripada ketupat nasi, rendang, mihun goreng sarat rencah hingga popiah basah dan onde-onde.

“BN ni kalah pilihan raya pun (PRU-14) banyak lagi duit. Tadi kita masa sidang media PH (Pakatan Harapan) mana makan apa!” kata seorang rakan media NSTP kepada saya sambil menambah makanan bagi pusingan kedua.

Ya. Tengah hari sebelumnya di Kampung Sesapan Batu Rembau, pihak media pada sidang akhbar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abd Rahman selepas Ketua Armada Bersatu itu mengayuh basikal sejauh kira-kira 25 kilometer hanya dijamu mihun goreng kosong dalam bekas polistrin dan air mineral sahaja.

Itu pun bukan semua wartawan sempat menjamah lantaran mengejar masa menyiapkan berita. Saya sendiri ditegur seorang anak kampung tempatan murid Darjah Lima.

Katanya, baki dua bekas makanan atas meja itu milik dia dan rakannya walaupun saya memberitahu hanya mahu melihat makanan apa di dalamnya.

Berbalik kepada mesyuarat kali pertama sayap Pemuda kedua-dua parti pembangkang itu, nampaknya wajah mesra mereka jelas terpampang.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilihat lebih menguasai sidang media sesuai kedudukannya sebagai tuan rumah. Karisma bekas Senator itu sebagai pemimpin pelapis BN nyata terserlah.

Slot berikutnya, Ketua Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menyatakan pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada calon BN untuk PRK Dun Semenyih.

Bahkan, anak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu memberi jaminan pertandingan tiga penjuru bukan sahaja tiada pada 2 Mac nanti malah berterusan sehingga pilihan raya umum seterusnya.

Pemuda Pas nampaknya melangkah jauh ke depan. Riak yakin terpancar. Bahkan, Khalil menyebut akan ‘menjelmakan’ kerjasama BN-Pas di Semenyih seperti apa yang berlaku dalam PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

Tidak keterlaluan daripada bahasa tubuh kedua-dua pemimpin parti pembangkang itu, aura Asyraf Wajdi lebih menonjol manakala Khalil nampak pasif.

Sejurus seorang pemberita pada mulanya mahu bertanyakan kepada Khalil tentang kesan wang RM90 juta, Asyraf Wajdi cepat-cepat memotong sejurus Khalil menjawab, “Ingat isu itu (RM90 juta) tenggelam dengan isu sijil kelayakan akademik palsu.”

Namun, apa yang tersurat di sebalik kemesraan Pemuda BN-Pas itu tentunya tidak sama dengan yang tersirat. Penampilan Papa Gomo yang panjang janggutnya kalah dengan mana-mana janggut Pemuda Pas di bilik gerakan BN itu.

Pengendali laman blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris itu juga sebelum bermulanya sidang media dengan wajah serius keluar seketika dari bilik mesyuarat mengingatkan pemberita, jurugambar dan juruvideo di luar agar senyap.

Sidang media itu juga cuba menunjukkan ‘keampuhan’ pembangkang khususnya sayap Pemudanya apabila diuar-uarkan kepimpinan Pemuda Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) pun hadir sama.

Sesama wartawan tertanya-tanya mana satu Ketua Pemuda IKATAN, Shahir Adnan dan Ketua Pemuda BERJASA, Iqbal Hakim Abdul Razak lantaran kedua-dua entiti parti itu dianggap ‘cair’ ditelan pekat hijau Pas.

Apapun, gendang perang sudah dicanang. Asyraf Wajdi mengisytiharkan Semenyih sebagai medan untuk rakyat melepaskan amarah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dakwanya gagal menunaikan janji pilihan raya seperti terkandung dalam manifesto.

Mampukah ketawa BN-Pas di Cameron Highlands berlanjutan di Semenyih? Adakah majoriti daripada 54,503 pengundi di wilayah bersempadan Negeri Sembilan ini nekad untuk menyampaikan ‘referendum’ kepada parti pemerintah yang hanya baru sembilan bulan mendapat mandat di Putrajaya?