Ketelusan adalah prinsip utama bagi sebarang akta pembiayaan politik, kata pakar

Ketelusan adalah prinsip utama bagi sebarang akta pembiayaan politik, kata pakar

Ketelusan perlu menjadi perkara utama bagi mana-mana undang-undang yang mengawal pembiayaan politik kerana para pengundi harus tahu mengenai pihak yang membayar dan menyokong calon atau parti mereka semasa kempen pilihan raya, menurut seorang pakar dalam pengurusan program bantuan pilihan raya.

Kevin Evans, yang bertanggungjawab mengurus program bantuan pilihan raya berpusat di Indonesia, berkata amat penting bagi pengundi untuk tahu siapa penyokong utama calon dan parti mereka.

” Yang menjadi kebimbangan adalah ada individu atau organisasi yang membiayai kempen parti politik tertentu boleh mendapat hak keistimewaan, hanya kerana mereka telah ‘membayar untuk itu’.

” Apa yang dibimbangkan tindakan seumpama itu boleh membawa kepada rasuah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sewaktu Persidangan Antarabangsa mengenai Integriti Politik: Pengukuhan Ketelusan dalam Pembiayaan Politik yang diadakan baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM), persidangan dua hari itu menyaksikan pakar-pakar pengurusan politik dari Mexico, Korea Selatan, Indonesia dan Taiwan berkongsi pengalaman masing-masing dalam menguruskan sistem pembiayaan politik negara mereka.

Evans, rakyat Australia yang bekerja untuk Agensi Pemulihan dan Pembangunan semula Aceh dan Nias selain Perkongsian Pembaharuan Tadbir Urus di Indonesia, menyertai salah satu perbincangan panel ketika persidangan tersebut. Beliau berkongsi pandangan mengenai pengalaman Indonesia dalam pembiayaan parti dan kempen.

PULANGAN ATAS PELABURAN

Beliau yang banyak menulis mengenai pilihan raya serta undang-undang politik berkata, apabila undang-undang memerlukan parti politik untuk mendedahkan identiti penyumbang mereka kepada orang ramai, mereka lebih cenderung untuk mengatakan “Tidak” kepada pihak penaja yang mengharapkan “pulangan ke atas pelaburan yang dibuat”.

“Jika tiada siapa yang tahu mengenai kaitan kewangan (antara calon/parti dan penderma), orang ramai tidak akan tahu bahawa wujud ‘pihak berkepentingan’ di sebalik sebarang keputusan yang dibuat,” katanya.

Mengenai bagaimana sesuatu undang-undang khusus yang mengawal pembiayaan politik boleh menangani isu rasuah dan meningkatkan integriti parti politik, Evans berkata penubuhan satu pihak berkuasa untuk mengawal tindakan parti politik, terutamanya yang berkaitan pergerakan kewangan, akan dapat membantu dalam memberi perlindungan dan kesahihan dengan lebih baik.

Menegaskan bahawa pentingnya untuk menggubal satu akta Parlimen, dan bukan sekadar mewujudkan peraturan kerajaan atau kementerian dalam menyelia pembiayaan politik, beliau berkata dengan hanya meminta agar parti mendedahkan identiti penderma adalah tidak mencukupi untuk memastikan ketelusan.

“Perlulah ada cara untuk mengesahkan dakwaan mereka itu dan juga untuk menghukum sesiapa sahaja yang melanggar prinsip ketelusan,” katanya.

Beliau berkata semua perkara berkaitan dengan demokrasi mempunyai peraturan tertentu, biasanya sebagai akta atau sebahagian daripada akta yang berkaitan umpamanya Akta Pilihan Raya atau Akta Parti, untuk mengawal selia isu pembiayaan politik, sama ada untuk pengurusan parti atau kempen pilihan raya.

DERMA TIDAK TERBATAS

Sementara itu, Felo Penyelidik Bersekutu di Pusat Kajian Pilihan Raya di National Chengchi University di Taiwan, Eric Chen-hua Yu berkata di Taiwan, kesemua derma politik perlu didepositkan ke dalam satu akaun khusus di institusi kewangan.

Di bawah Perkara 10 Akta Sumbangan Politik (PDA) 2004, adalah diwajibkan bagi setiap calon membuka akaun khas untuk sumbangan politik sebelum mereka boleh menerima dana daripada orang lain, katanya sambil menegaskan, “Wang itu tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun peribadi”.

Mereka yang disabitkan dengan kemasukan dana politik ke dalam akaun peribadi berhadapan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun, penahanan dan juga boleh dikenakan denda tidak melebihi NT$100 juta (RM12.7 juta).

Dalam kertas kerjanya yang dibentangkan pada persidangan itu, yang bertajuk “Institusi Derma Politik dan Dana Kempen di Taiwan”, Yu berkata di bawah Perkara 13 PDA, parti politik dan orang yang merancang untuk menyertai kempen pilihan raya tidak boleh mengumpul sumbangan politik dengan “menetapkan tempoh atau tidak dipastikan, bon dengan faedah atau tanpa faedah atau jaminan lain kepada individu yang tidak dipastikan.”

Beliau berkata setiap tahun, parti politik hanya boleh menerima sumbangan sehingga NT$300,000 (RM38,014) daripada individu; NT$3 juta (RM380,139) daripada perniagaan berasaskan keuntungan; dan NT$2 juta (RM253,426) daripada persatuan awam.

Bagi individu, perniagaan berasaskan keuntungan atau persatuan awam, sumbangan kepada parti politik, masing-masing tidak boleh melebihi NT$600,000(RM76,127), NT$6 juta (RM760,802) dan NT$4 juta (RM507,201), setiap tahun.

SISTEM KAWALAN DAN AUDIT

Wakil Institut Pilihan Raya Nasional Mexico (INE) Carlos Navarro, dalam kertas kerjanya bertajuk “Peraturan dan Pengawasan Parti dan Pembiayaan Kempen: Pengalaman Mexico”, berkata INE bertanggungjawab melaksanakan pengawasan dan pengauditan semua pendapatan kewangan dan perbelanjaan parti politik dan calon di seluruh negara, untuk semua jenis pilihan raya.

Pada tahun-tahun bukan pilihan raya, parti politik dikehendaki mengemukakan laporan suku tahunan kewangan mereka dan laporan tahunan yang disatukan, yang perlu disahkan oleh juruaudit luar, katanya.

Semasa pilihan raya atau tempoh kempen, parti perlu mendaftarkan kesemua pendapatan kempen atau perbelanjaan bagi setiap calon dalam tempoh tiga hari ke dalam sistem dalam talian khusus yang diwujudkan dan dikendalikan oleh INE, dan kemudiannya perlu mengemukakan laporan bulanan yang disatukan bagi setiap calon, dan laporan akhir yang disatukan tiga hari selepas tamat tempoh kempen pilihan raya.

“Jika siling perbelanjaan kempen calon yang menang melebihi lebih daripada lima peratus, pilihan raya itu boleh dibatalkan oleh Tribunal Pilihan Raya dan ini hendaklah dilaksanakan sebelum majlis mengangkat sumpah memegang jawatan,” kata Navarro.

Beliau menjelaskan bahawa sistem pengawasan menyeluruh dan kekal serta sistem audit mempunyai empat komponen iaitu sistem laporan dalam talian, sistem pemantauan, lawatan pengesahan dan pertukaran atau semakan maklumat dengan pihak lain.

Di Mexico, undang-undang yang mengawal pembiayaan politik mengiktiraf dan mengawal pembiayaan persendirian daripada empat sumber: ahli parti, penyokong parti (tertakluk kepada had individu dan global), pembiayaan sendiri (untuk aktiviti promosi) dan hasil kewangan.

Antara yang dihalang daripada membuat sumbangan kepada parti politik adalah parti politik asing, individu dan entiti perundangan; gereja atau persatuan keagamaan; dan rakyat Mexico yang tinggal atau bekerja di luar negara.

INTEGRITI DAN DEMOKRASI

Sementara itu, Navarro mengakui bahawa peraturan, kawalan dan pengawasan pembiayaan parti dan kempen merupakan isu yang sangat kompleks dan sukar difahami, yang tiada penyelesaian mudah mahupun universal.

Beliau berkata walaupun kaedah undang-undang adalah mengikut perkara yang ditetapkan, masalah-masalah yang perlu ditangani hendaklah dikenal pasti dengan jelas.

” Peraturan menggambarkan kesungguhan politik, namun penguatkuasaan yang berkesan memerlukan kuasa, kemampuan dan sumber. Jika peraturan itu tidak diikuti dengan sistem kawalan dan pengawasan yang sesuai bagi membolehkan pihak berkuasa berkenaan mengkaji laporan, menyiasat pelanggaran dan mengenakan sekatan, ia akan menjadi tidak berkesan dan tidak berguna.

“Tidak ada sistem yang kebal terhadap penyelewengan dan pelanggaran, tetapi ia perlu dibentuk untuk menyiasat, menyekat dan mengelakkan persepsi sewenang-wenangnya. Seringkali, apa yang dipertaruhkan bukan sahaja integriti dan kredibiliti pilihan raya dan keputusannya, malah juga kesahihan institusi dan proses demokrasi,” katanya.

Oleh Erda Khursyiah Basir

TAGS